KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan pelaksanaan Bayaran Insentif Pakar Pra Warta (BIPPW) kepada pegawai perubatan yang menjalani tempoh pengalaman kerja diselia atau Supervised Work Experience (SWE) tamat latihan kepakaran.
Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), insentif tersebut merupakan pengiktirafan terhadap komitmen dan beban
tugas pegawai sepanjang menjalani tempoh SWE yang melibatkan pelaksanaan tugas seperti seorang pakar perubatan.
“Ia juga merupakan langkah signifikan ke arah penjagaan kebajikan warga kerja KKM di samping meningkatkan motivasi dan memastikan kesinambungan perkhidmatan perubatan kepada rakyat,” katanya menerusi kenyataan.
Jelas KKM, bayaran BIPPW akan diberikan sebaik sahaja pegawai memulakan SWE manakala kadar bayaran adalah sama seperti kadar bayaran bagi BIP dan ditetapkan mengikut gred hakiki pegawai, melibatkan Gred 10 hingga 14.
“Pelaksanaan BIPPW ini adalah selaras dengan Akta Perubatan (Pindaan) 2024 [Akta A1729] yang mula dikuatkuasakan pada 1 Julai 2025,” katanya.
Sebagai info, SWE merupakan suatu tempoh percubaan yang perlu dilalui oleh semua pegawai perubatan setelah berjaya tamat latihan kepakaran.
Pegawai akan diselia oleh Pakar Perubatan yang lebih kanan bagi memastikan mereka kompeten dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pakar.
“Dengan berkuat kuasanya Akta A1729, semua latihan kepakaran yang dijalankan di negara ini adalah kini lebih teratur dari segi undang-undang.
“Mana-mana pengamal perubatan yang terjejas dengan isu pengiktirafan serta pendaftaran pakar khususnya mereka dalam bidang pembedahan kardiotorasik, perubatan keluarga, pembedahan plastik dan patologi generik kini boleh dipertimbangkan untuk pendaftaran sebagaimana yang telah dijanjikan oleh kerajaan pada awal tahun 2024.
“Kini pegawai perubatan yang menjalani SWE selaras dengan keteraturan proses yang berkaitan juga tidak perlu lagi bimbang tentang elaun yang mereka layak terima,” tambah KKM.-MalaysiaGazette
















