Durian set talam yang boleh didapati di gerai Mr. Patin House cawangan Serambi Teruntum, Kuantan

KUANTAN – Strategi kreatif jual durian dalam talam bertutup kelambu ternyata membuahkan hasil buat Muhammad Rizal Osman menarik lebih ramai pelanggan ke dua cawangan khemah jualannya di Serambi Teruntum dan Balok, di sini.

Manakan tidak, katanya, set durian campur yang berharga RM100 bagi satu talam itu boleh terjual sehingga 200 unit sehari.

Menurut Muhammad Rizal, 31, ini merupakan tahun pertama dia mencuba kaedah itu sejak mula berniaga durian lima tahun lalu.

“Kita tak balut dengan wrapping plastik tu, sebab tak nampak cantik. Apabila kita letak macam jaring ni nampak lebih menarik sebab boleh nampak warna isi durian tu.

“Sebab biasanya memang orang akan ambil gambar dulu sebelum makan,” katanya ketika ditemui di gerai durian Mr Patin House, di Serambi Teruntum, di sini, hari ini.

Muhammad Rizal Osman menunjukkan set talam durian dijual di gerai durian Mr Patin House di Serambi Teruntum

Jelas Muhammad Rizal, terdapat dua set durian dalam talam yang boleh dipilih pelanggan iaitu set campur dan set durian D13 Golden Bun.

Namun, katanya rata-rata pelanggan lebih meminati durian D13 Golden Bun yang lebih dikenali sebagai Udang Merah atau Mozarella Cheese kerana isinya yang manis berlemak berwarna oren.

“Set utama yang kita letak lima atau enam biji durian Udang Merah yang D13 Golden Bun tu hanya terdapat di cawangan Serambi Teruntum sahaja.

“Manakala pilihan kedua pula kita campur durian Musang King, Udang Merah dan IOI dengan tawaran harga sama RM100 bagi setiap talam,” katanya.

Bercerita lanjut, bapa kepada tiga anak itu memberitahu, durian yang dijualnya diperoleh daripada pemborong tetap dari ladang durian di Johor Bahru selain dari Raub.

Muhammad Rizal memberitahu, jualan durian di kedua-dua cawangan gerainya mencecah lebih enam tan sehari, dengan penghantaran dua hingga tiga kali sehari bergantung kepada hari biasa atau hujung minggu.

Aneka jenis durian dijual di gerai Mr. Patin House di cawangan Serambi Teruntum, Kuantan

“Selain set talam tu, istimewanya ada juga jual durian D13 saiz ‘baby‘ yang kita jual 15 biji pada harga RM100. Semua boleh pilih sendiri, kita beri bakul,” tambahnya.

Sementara itu salah seorang pelanggan, Zulfakar Rafar, 52 ketika ditemui memberitahu, ia kali pertama dia dan rakannya mencuba durian di kedai berkenaan.

“Kebetulan nampak macam ada pesta durian, jadi saya singgah sekejap dengan kawan. Kami pilih kedai ni sebab senang. Kita boleh nampak isi dalam durian tu dan lebih meyakinkanlah,”katanya.

Zulfakar Rafar (kiri) dan rakannya, Rizman Abdul Noris (kanan) menikmati durian set talam campur di gerai Mr Patin House cawangan Serambi Teruntum, Kuantan

Difahamkan, waktu operasi bagi cawangan di Serambi Teruntum bermula 12 tengah hari hingga 12 tengah malam, manakala bagi cawangan di Balok pula adalah bermula 10 pagi hingga 12 tengah malam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast