JOHOR BAHRU – Sebuah van sekolah yang sedang membawa 16 pelajar terbalik selepas melanggar lubang yang tidak ditutup di Jalan Abdul Samad di sini hari ini.
Kejadian pukul 7.30 pagi itu turut mengakibatkan terdapat mangsa yang patah tangan dan jari, semua yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, mangsa terdiri daripada 10 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mohd Khaled dan enam murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Yahya Awal.
“Pagi ini saya ke HSA Johor Bahru bagi menziarahi pelajar sekolah yang terlibat dalam kemalangan van sekolah yang terbalik di Jalan Abdul Samad menghala ke SMK Mohd Khaled awal pagi tadi.
“Seramai 16 mangsa terlibat. Insiden ini amat menyentuh hati lebih-lebih lagi apabila melibatkan keselamatan anak-anak kita yang masih di bangku sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa kemalangan van sekolah di HSA di sini hari ini.
Aznan berkata, pihaknya sedang mendapatkan perkembangan terkini daripada pihak hospital dan sekolah mengenai keadaan mangsa.
Pihaknya juga memberikan jaminan bahawa semua murid yang terlibat akan menerima rawatan dan pemantauan kesihatan terbaik.
“Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden ini bagi memastikan punca sebenar dikenal pasti dan tindakan sewajarnya diambil demi menjamin keselamatan pelajar pada masa akan datang.
“Sama-sama kita doakan agar semua murid yang tercedera segera sembuh dan dipermudahkan segala urusan mereka serta keluarga,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima laporan kejadian itu.
“Satu kenyataan akhbar akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















