KUALA LUMPUR – Rakyat negara ini perlu menunggu waktu yang sesuai berhubung pengumuman penghargaan luar biasa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berharap apa jua pengumuman yang akan dibuat itu akan dihargai kerana ia mengikut budi bicara Anwar yang juga Menteri Kewangan.
“Itu kita hormat budi bicara PM yang akan membuat pengumuman pada masa sesuai dan saya tidak boleh mendahuluinya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media elepas merasmikan Kuala Lumpur Architecture Week 2025 di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas Anwar semalam yang memberi bayangan bahawa satu pengumuman besar bakal dibuat dalam masa terdekat, berkemungkinan seawal esok atau Selasa ini.
Jelas perdana menteri, ketika ini pasukan Kementerian Kewangan sedang berusaha memantapkan perkara yang bakal diumumkan itu bagi memastikan impaknya benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya akan cari jalan, sekarang tiap-tiap minggu Menteri Kewangan duk (sedang) cari apa dia yang boleh diumumkan oleh PM dalam masa singkat.
“Seperti semua dah tahu saya akan buat pengumuman mesti besar sikit untuk tanggani masalah yang dihadapi.
“Siap saja (kejutan) kalau tak Isnin, Selasa… bagi masa dua, tiga hari lagi untuk kita mantapkan dulu, nanti saya umumlah… doa bagi yang elok-elok, InsyaAllah,” katanya kepada media di Pulau Pinang.
Sebelum ini, hantaran poster misteri yang dimuat naik Perdana Menteri di Faecbook miliknya bertulis “Akan datang…suatu penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia” telah mencetuskan pelbagai spekulasi dan jangkaan dalam kalangan rakyat.
Sejak itu, ramai dalam kalangan netizen menyuarakan rasa ingin tahu serta harapan agar pengumuman tersebut benar-benar membawa berita baik, khususnya dalam mendepani tekanan kos sara hidup. – MalaysiaGazette

















