Ibu dan bapa Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf (dua kanan) hadir bagi mendengar keputusan pertuduhan pengabaian kanak-kanak kanak-kanak autisme itu di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 21 JULAI 2025.

PETALING JAYA – Pasangan suami isteri, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang merupakan ibu bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pagi ini bagi mendengar keputusan sama ada mereka akan diperintah membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan anak mereka.

Kedua-dua tertuduh tiba dengan sebuah kereta Axia berwarna hijau kira-kira jam 8 pagi, diiringi beberapa ahli keluarga termasuk datuk kepada mangsa, yang juga bapa Zaim Ikhwan.

Zaim yang beberapa kali hadir ke prosiding dengan berkerusi roda dan bertongkat, kelihatan jalan berjingkit-jingkit ketika masuk ke kafe mahkamah.

Sementara itu, suasana di pekarangan mahkamah penuh kehadiran pihak media sejak jam 7.30 pagi tadi.

Namun kawalan ketat oleh pengawal keselamatan menyebabkan wartawan tidak dibenarkan masuk ke kawasan kompleks mahkamah sebelum jam 8 pagi.

Hakim Dr Syahliza Warnoh dijadualkan membacakan keputusan pada jam 9 pagi ini, selepas meneliti keseluruhan hujahan pihak pendakwaan sepanjang prosiding kes.

Keputusan ini bakal menentukan sama ada wujud kes prima facie terhadap pasangan itu di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen asas pertuduhan, pasangan berusia 30 tahun itu akan dibebaskan serta-merta.

Seandai sebaliknya, kedua-duanya akan diperintahkan membela diri atas dakwaan kecuaian yang menyebabkan kecederaan fizikal kepada Zayn Rayyan, seorang kanak-kanak autistik berusia enam tahun.

Pada 13 Jun 2024, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan berhubung pengabaian anak mereka yang didakwa dilakukan antara jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023 di Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan anak sungai berhampiran tempat mayat Zayn ditemui.

Mayat mangsa ditemui pada malam 6 Disember 2023 kira-kira 200 meter dari rumahnya, selepas dilaporkan hilang sejak sehari sebelumnya.

Kes ini mendapat perhatian luas masyarakat memandangkan latar belakang mangsa sebagai anak istimewa dan sifat pertuduhan terhadap ibu bapanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast