KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akhirnya menemui titik damai hari ini selepas bersepakat menarik balik tuntutan saman yang dikemukakan kedua-duanya.
Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir, 100, selaku plaintif menarik balik saman yang difailkan terhadap Ahmad Zahid, susulan dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu ‘kutty, tanpa kebebasan menfailkan semula .
Ahmad Zahid, 73, pula bersetuju untuk menarik balik saman fitnah berhubung dakwaan menggunakan kedudukan beliau bagi mempengaruhi bekas perdana menteri itu untuk campur tangan dalam prosiding kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menarik pendakwaan permohonan memulakan prosiding menghina mahkamah yang dikemukakan terhadap Dr Mahathir yang diadakan di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 5 Disember tahun lalu.
Sehubungan itu, Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong membenarkan permohonan kdua-dua pihak dan memerinthakan kes diselesaikan tanpa sebarang perintah kos.

Sementara itu, dalam kenyataan bersama kedua-dua pihak yang dibacakan peguam mewakili Dr Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, mereka akui terdapat kenyataan sebelum ini menimbulkan kekeliruan dan salah faham berkaitan identiti dan integriti peribadi mereka.
“Ahmad Zahid tidak mempertikaikan nama Dr Mahahthir seperti yang didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah Mahathir bin Mohamad.
“Sebarang kenyataan sebelum ini menimbukan tanggapan sebaliknya dibuat berdasarkan maklumat daripada Ketua Pengarah JPN yang mana beliau tiada sebab untuk meragui pada ketika itu.
“Sehubungan itu, kedua-dua pihak dengan ini menarik balik sebarang rujukan kepada kewujudan dokumen pengenalan dengan nama ‘Mahathir a/l Iskandar Kutty’,” katanya dalam sidang media selepas prosiding hari ini, di sini.

Tambah beliau, anak guamnya tidak mempertikaikan kenyataannya pada 23 Februari 2022 berkenaan siasatan atau prosiding jenayah terhadap Ahmad Zahid adalah berdasarkan kepada maklumat daripada pihak ketiga.
“Dr Mahathir tiada sebab untuk meragui pada ketika itu tambahan pula, beliau telah melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri Ke-7 dan tidak berada di dalam kerajaan pada ketika kedua-dua situasi dirujuk dalam kenyataannya tersebut.
“Dengan ini menarik balik sebarang rujukan kepada cubaan Ahmad Zahid melalui apa-apa kenyataan atau pertemuan untuk menghentikan prosiding jenayah yerhadapnya di luar lingkup proses kehakiman,” ujarnya.

Dalam pada itu, Peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid pula berkata, berdasarkan pernyataan itu, kedua-dua pihak percaya subjek utama dalam pertikaian antara pihak-pihak telah dijelaskan dan tidak lagi berbangkit.
Katanya, penyelesaian itu bertujuan bukan sahaja ingin menamatkan prosiding sivil yang sedang berjalan, tetapi juga mengukuhkan semangat perpaduan, mempertingkatkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara turut menghormati prinsip-prinsip keluhuran perlembagaan dan institusi kehakiman.
“Sehubungan itu, kedua-dua pemimpin itu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Hakim Mahkamah Tinggi serta pegawai-pegawai mahkamah yang telah menunjukkan kewibawaan institusi kehakiman negara dalam menjalankan amanah dengan penuh hemah dan berdedikasi.
“Dalam keadaan semasa ini, saya percaya kedua-dua pemimpin kita dengan penuh hemah dan keikhlasan yang ditunjukkan menolak isu-isu peribadi dan mementingkan tentang kebersamaan serta memulihkan keharmoninan dan kemajuan negara,” ujarnya.
Untuk rekod, prosiding itu berkaitan tindakan Dr Mahathir yang mengadakan sidang akhbar pada 5 Disember tahun lalu di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan menunjukkan beberapa salinan dokumen termasuk kad pengenalan beliau selepas memberi keterangan dalam samannya terhadap Ahmad Zahid berhubung isu ‘kutty’. – MalayasiaGazette
















