Kompleks Mahkamah Indera Mahkota, Kuantan.

KUANTAN – Mahkamah Sesyen Kuantan mengeluarkan waran tangkap terhadap ahli perniagaan, Datuk Seri Mohd Nazrul Izad Mohd Arsad selepas dia gagal hadir pada prosiding sebutan kes terhadapnya hari ini.

Hakim, Noor Aisah Mohamed memerintahkan demikian terhadap lelaki berusia 46 tahun itu selepas membenarkan permohonan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Abdul Hadi Abdul Muti.

Mengikut jadual, Mohd Nazrul sepatutnya hadir ke prosiding hari ini bagi mendengar pertuduhan yang dibuat ke atas dia dan pasangannya, Datuk Azjuriyahti Azlan, 46, berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 591 (2)(a) Akta Syarikat 2016 (Akta 777).

Bagaimanapun, peguam, Muhammad Nazrin Mohd Seth yang mewakili kedua-dua mereka memaklumkan Mohd Nazrul sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta dan mempunyai sijil sakit sebagai alasan bagi tidak hadir hari ini.

Sementara itu, pasangannya, Azjuriyahti Azlan pula membuat pengakuan tidak bersalah di atas pertuduhan tersebut.

Datuk Azjuriyahti Azlan (dua dari kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini

Mengikut kertas pertuduhan, dia dan Mohd Nazrul secara bersama telah membenarkan  setiausaha syarikat KMDI Holding Sdn Bhd mengemukakan dokumen Section 58 Notification of Change In The Register Of Directors, Managers And Secretaries KMDI Holding Sdn Bhd dengan butiran matan palsu berhubung dengan peletakan jawatan tiga pengarah syarikat itu.

Berikutan itu, mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 591(2)(a) Akta Syarikat 2016 (Akta 777) yang boleh di hukum di bawah Seksyen dan Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pegawai Pendakwa memohon agar wang jaminan RM30,000 dikenakan terhadap Azjuriyahti namun peguamnya merayu agar hakim mengurangkan jumlah itu mengambil kira penjaminnya hanya berpendapatan sekitar RM5,000 sehingga RM8,000.

Hakim kemudian menetapkan wang jaminan berjumlah RM8,000 bersama seorang penjamin dan tarikh 28 Ogos bagi serahan dokumen dan sebutan semula. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Mahkamah keluar waran tangkap terhadap ahli perniagaan wanita

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast