Jabatan Peguam Negara

 

KUALA LUMPUR – Ketua Audit Negara boleh dilantik dalam kalangan anggota perkhidmatan awam berdasarkan Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan (PP) dan peruntukan subperenggan 1(1) Jadual Pertama kepada Akta Audit 1957 [Akta 62].

Jabatan Peguam Negara berkata, merujuk kepada Fasal (2) Perkara 105 PP,  semasa Wan Suraya Wan Mohd Radzi dilantik sebagai Ketua Audit Negara berkuat kuasa mulai 13 Jun 2023, beliau tidak lagi memegang apa-apa pelantikan lain dalam perkhidmatan Persekutuan kerana  tidak lagi menjadi anggota skim perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).

Menurutnya, meskipun beliau tidak lagi menjadi anggota skim perkhidmatan PTD, Ketua Audit Negara masih terus menjadi anggota perkhidmatan awam am berdasarkan Seksyen 3 Akta 62.

“Memandangkan pelantikan beliau sebagai Ketua Audit Negara adalah teratur, maka tiada keperluan untuk beliau dibersarakan demi kepentingan negara,” jelas Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan di sini hari ini.

Petang tadi, Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, jawatan Ketua Audit Negara yang kini disandang Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi sah mengikut Perlembagaan Persekutuan kerana beliau bukan lagi Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD).

Katanya, pengesahan itu dibuat dalam penjelasan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Menurut beliau, Jemaah Menteri diberitahu Wan Suraya meletakkan jawatannya sebagai PTD sebaik sahaja menerima pelantikan sebagai Ketua Audit Negara.

Jawatan tersebut menjadi isu apabila ahli parlimen pembangkang mempersoalkan pelantikan Wan Suraya Wan Radzi sebagai Ketua Audit Negara dengan mempersoalkan sama ada pelantikannya mematuhi peraturan atau tidak.

Dalam perbahasan Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 Tahun 2025 yang dibentangkan pada Isnin, beberapa ahli parlimen berpendapat jawatan Ketua Audit Negara tidak sepatutnya disandang oleh seorang penjawat awam.

Ketua Whip Bersatu, Ronald Kiandee (PN-Beluran) menegaskan Ketua Audit Negara yang dilantik di bawah Perlembagaan Persekutuan mestilah individu yang bebas dan tidak mempunyai hubungan dengan cabang eksekutif, selain tidak menjadi sebahagian daripada struktur pentadbiran negara.

Beliau mendakwa Wan Suraya masih lagi merupakan penjawat awam dan mendesak kerajaan menjelaskan jika pelantikan yang dibuat memenuhi syarat berkaitan pemisahan daripada eksekutif. – MalaysiaGazette

Wan Suraya bukan lagi PTD, pelantikan sah ikut Perlembagaan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast