Wan Suraya Wan Mohd Radzi

PUTRAJAYA – Jawatan Ketua Audit Negara yang kini disandang Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi sah mengikut Perlembagaan Persekutuan kerana beliau bukan lagi Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD).

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pengesahan itu dibuat dalam penjelasan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Beliau yang Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri diberitahu Wan Suraya meletakkan jawatannya sebagai PTD sebaik sahaja menerima pelantikan sebagai Ketua Audit Negara.

“Hari ini dijelaskan oleh Ketua Setiausaha Negara bahawa memang dari segi Perlembagaan, tidak timbul sebarang isu kerana proses pelantikan itu menepati apa yang tertera dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pada masa sama, Ketua Setiausaha Negara juga memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa Wan Suraya sudah berhenti menjadi seorang Pegawai Tadbir Diplomatik ketika beliau bersetuju untuk menjadi Ketua Audit Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang medi pasca mesyuarat Kabinet di kementeriannya di sini,

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bercakap kepada wartawan ketika sidang media di Kementerian Komunikasi, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 25 JULAI 2025.

Semalam, pembangkang mendakwa jawatan Ketua Audit Negara yang kini disandang Wan Suraya Wan adalah tidak sah kerana lantikan beliau tidak selari dengan Perlembagaan.

Sehubungan itu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, situasi tersebut turut menimbulkan persoalan dari segi kesahihan Laporan Audit Ketua Negara (LKAN) termasuk yang dikeluarkan Selasa lalu, yang ditandatangani oleh Wan Suraya.

Menjelaskan lebih lanjut, ujar beliau, jawatan Ketua Audit Negara sepatutnya disandang oleh individu yang sudah tidak lagi berada dalam perkhidmatan awam sama ada sudah bersara atau melepaskan jawatannya.

Ia tegas beliau, bagi memastikan Ketua Audit Negara dapat bertindak secara bebas tanpa terikat kepada mana-mana pegawai yang lebih tinggi daripada beliau dalam perkhidmatan awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast