KUALA LUMPUR – Ketua Hakim Negara ke-17, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengangkat sumpah jawatan dan menerima surat cara pelantikan di Istana Negara, esok.
Pengurniaan surat cara pelantikan akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Turut mengangkat sumpah jawatan, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi.
Pada 19 Julai lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap di Permatang Pauh, Pulau Pinang berkata, seramai lapan Hakim Mahkamah Rayuan dan 14 Hakim Mahkamah Tinggi akan mengangkat sumpah pada majlis tersebut.
Perdana Menteri berkata, proses pelantikan itu telah melalui semua peringkat sewajarnya termasuk penilaian Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), perbincangan dengan Raja-Raja Melayu serta perkenan Seri Paduka.
Sehari sebelumnya, media melaporkan, Wan Ahmad Farid yang ketika itu Hakim Mahkamah Rayuan, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib, awal bulan ini.
Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), Majlis Raja-Raja yang bersidang turut berkenan melantik Abu Bakar sebagai Presiden Mahkamah Rayuan yang baharu.
Beliau menggantikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang mencapai umur persaraan wajib 66 tahun, 3 Julai lalu.
Menurut kenyataan itu, Majlis Raja-Raja turut berkenan melantik Azizah yang juga Hakim Mahkamah Rayuan sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Sebli yang bersara.
Pelantikan itu dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan bahawa Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja berkenan melantik ketiga-tiganya ke jawatan hakim mahkamah atasan.
Wan Ahmad Farid, 62, berasal dari Kuala Terengganu, memulakan kerjaya dalam bidang perundangan selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B Hons) daripada University of West London pada 1985 dan Sijil Amalan Guaman (Certificate in Legal Practice – CLP) dari Universiti Malaya pada 1986.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dari 2003 hingga 2008, sebelum menyandang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2008 hingga 2009.
Pada 2024, Wan Ahmad Farid juga memainkan peranan penting dalam membuat keputusan dalam kes kepentingan awam melibatkan saman pemula difailkan peguam Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar berhubung kuasa YDPA dalam mengisytiharkan darurat.
Dalam pada itu, Abu Bakar, 63, memiliki pengalaman luas dalam bidang kehakiman dan perundangan.
Beliau pernah menjadi Tutor di Fakulti Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (1986-1987), Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara (1987), serta Badan Pencegah Rasuah (1987-1990).
Beliau memulakan kerjaya sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Julai 2013 hingga 20 Mac 2016, sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 21 Mac 2016.
Abu Bakar pernah berkhidmat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Tinggi Seremban antara 2016 dan 2019, sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 5 Disember 2019, dan kemudiannya sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 13 Jun 2023.
Sementara itu, Azizah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 November 2012, kemudian sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 12 September 2014, dan akhirnya sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Ogos 2019. – MalaysiaGazette
















