KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang meneliti potensi jalinan kerjasama dengan World Boxing Council (WBC) bagi memperkukuh penganjuran sukan Muay Thai di Malaysia.
Timbalan menterinya, Adam Adli Abdul Halim bagaimanapun menegaskan, sebarang bentuk sokongan kementerian akan diberikan hanya kepada kejohanan yang mematuhi piawaian International Federation of Muaythai Associations (IFMA), badan sukan yang diiktiraf Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC).
“Kami melihat ruang kerjasama bersama WBC namun perlu diingat bahawa sokongan penuh hanya diberikan kepada kejohanan yang selaras dengan piawaian IFMA terutamanya yang berada di bawah pergerakan Olimpik,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, WBC yang sebelum ini sinonim dengan sukan tinju profesional, kini mula menganjurkan kejohanan Muay Thai amatur di bawah jenama WBC Muaythai.
“Namun kejohanan anjuran WBC Muaythai ini tidak berada di bawah struktur Olimpik dan tidak disertai oleh atlet kebangsaan Thailand.
“Justeru ia berbeza dengan kejohanan dunia yang diiktiraf badan antarabangsa seperti IFMA,” jelasnya.
Beliau menambah, sokongan KBS melalui Majlis Sukan Negara (MSN) kekal tertumpu kepada penyertaan atlet kebangsaan yang memenuhi kriteria pencapaian ke kejohanan antarabangsa berstatus Olimpik.
“Ini termasuk kejohanan seperti Sukan SEA, Kejohanan Muaythai Asia dan Dunia, World Games, dan kejohanan lain yang menepati piawaian anti-doping daripada World Anti-Doping Agency (WADA),” tegasnya.
Hal ini kerana ia penting untuk memastikan pembangunan Muay Thai negara berada pada landasan yang betul mengikut standard global, selain membuka peluang atlet Malaysia bersaing di peringkat Olimpik. – MalaysiaGazette















