abdul rahman sebli
Abdul Rahman Sebli

PUTRAJAYA – Bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli menegaskan beliau tidak khuatir akan dikenakan tindakan kerana mendedahkan tekanan dalaman yang dihadapinya ketika memutuskan satu kes perlembagaan berprofil tinggi pada 2021.

Beliau yang bersara Khamis lalu, tetap berpegang pada pendirian yang terkandung dalam ucapan yang disampaikan pada majlis perpisahan sempena persaraan, sehari sebelumnya.

Ketika ditanya mengapa beliau mengambil tempoh yang lama untuk mendedahkan tekanan yang diterima, Abdul Rahman menyatakan, waktu itu (majlis berkenaan) merupakan masa yang sesuai untuk beliau berbuat demikian.

“Saya tetap berpegang pada ucapan saya. Saya tidak khuatir, saya bercakap yang benar,” ujar beliau ketika ditemui wakil media selepas majlis angkat sumpah jawatan dan taat setia 22 hakim atasan di Istana Kehakiman, di sini, hari ini.

Kelmarin, media melaporkan pendedahan Abdul Rahman mengenai tekanan dalaman yang dihadapinya ketika menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan sehingga hampir menggugat kebebasan penghakiman yang diputuskannya.

Beliau mengimbau peristiwa tersebut ketika berucap pada majlis perpisahan sempena persaraannya di hadapan rakan hakim, pegawai mahkamah dan tetamu kehormat di Kuching, Rabu lalu.

Abdul Rahman menyentuh satu episod sewaktu beliau menganggotai panel tujuh hakim dalam satu kes perlembagaan berprofil tinggi pada tahun 2021.

“Saya diminta untuk ‘toe the line’. Malah deraf penghakiman saya dikritik secara kasar, sehingga digelar ‘hypocritical’. Namun saya tidak berganjak dari pendirian saya,” katanya.

Beliau menjelaskan, sebelum keputusan itu diumumkan, beliau telah menyediakan satu deraf penghakiman dan mengedarkannya kepada enam ahli panel yang lain – satu amalan standard di Mahkamah Persekutuan.

Namun, tidak lama selepas itu, beliau menerima satu e-mel daripada seorang hakim kanan yang mengkritik keras pandangannya, malah menggunakan bahasa sinis dan condescending.

Terdahulu, 22 hakim atasan termasuk Presiden Mahkamah Rayuan yang baharu, Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi mengangkat sumpah jawatan dan taat setia pada majlis tersebut.

Pada sebelah pagi, Ketua Hakim Negara ke-17, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di Istana Negara.

Pada majlis itu, seramai enam hakim Mahkamah Tinggi dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan, manakala 14 pesuruhjaya kehakiman disahkan sebagai hakim Mahkamah Tinggi.

Abu Bakar mendahului majlis angkat sumpah dengan berbuat demikian di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan paling kanan, Datuk P. Ravintharan manakala Azizah mengangkat sumpah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Sarawak yang paling kanan, Hakim Dean Wayne Daly.

Majlis kemudian diteruskan dengan majlis angkat sumpah Hakim Mahkamah Rayuan di hadapan Abu Bakar.

Mereka ialah Hakim-Hakim Dr. Shahnaz Sulaiman, Datin Paduka Evrol Mariette Felix Michael Peters, Ong Chee Kwan, Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid, Leonard David Shim dan Nadzarin Wok Nordin.

Sementara itu, mengangkat sumpat taat setia sebagai Hakim Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim ialah Hakim-Hakim Dr. Choong Yeow Choy, Saiful Azian Mokhtar, Evawani Farisyta Mohamad dan Indra Nehru Savandiah.

Turut mengangkat sumpah sebagai Hakim Mahkamah Tinggi ialah Sumathi Murugiah, Moses Susayan, Kan Weng Hin, Dr. Wendy Ooi Su Ghee, Mohd. Rosli Yusoff, Dr. Hazlina Hussain, Roszianayati Ahmad dan Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Selain itu, turut mengangkat sumpah sebagai Hakim Mahkamah Tinggi di hadapan Azizah ialah Hakim-Hakim Maslinda @ Linda Mohd Ainal dan Datuk Faridz Gohim Abdullah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast