Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melawat reruai yang disediakan pada Majlis Perasmian Karnival Mega 3 Dimensi bersempena Sambutan Hari Felda 2025 di MITEC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 02 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memuji sumbangan Malaysia dalam kejayaan mencapai gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, pujian itu disampaikan sendiri oleh Trump menerusi satu panggilan telefon seawal 6.50 pagi Khamis lalu. 

“Beliau (Trump) kata Prime Minister Anwar, fantastic work. Malah beliau menyebut perkataan fantastic sebanyak tiga kali kerana kagum dengan kejayaan Malaysia menyatukan dua negara jiran itu untuk bersetuju dengan satu gencatan senjata yang sukar dicapai di tempat lain,” katanya.

Anwar berkata, pada pertemuan pertama sebelum ini, usaha damai belum berjaya sepenuhnya walaupun Trump sendiri telah menghubungi Presiden China bagi membantu memediasi rundingan.

“Namun Malaysia melalui Kementerian Luar dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berusaha keras untuk mempertemukan Perdana Menteri Thailand dan Kemboja di Putrajaya.

“Dalam masa dua jam setengah, Alhamdulillah, gencatan senjata berjaya dimeterai,” katanya ketika merasmikan Karnival Mega 3 Dimensi 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar menambah, kejayaan diplomatik itu telah mengangkat nama Malaysia di mata dunia.

“Dari Washington ke London hingga ke ASEAN, ramai yang memuji Malaysia atas kejayaan mempersatukan rantau ini dan membawa kedamaian,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan satu lagi rundingan lanjutan akan diadakan di ibu negara pada Isnin ini dan bakal dihadiri Menteri Pertahanan kedua-dua negara bagi membincangkan butiran teknikal perjanjian tersebut.

“Menteri Pertahanan Thailand dan Kemboja akan datang ke Kuala Lumpur untuk mencerakinkan cara-cara memperkukuh keamanan ini,” kata Anwar lagi.

Sebelum ini, ATM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya akan memudah cara Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) antara Thailand dan Kemboja di Kuala Lumpur dari 4 hingga 7 Ogos ini.

Mesyuarat GBC itu bertujuan merangka mekanisme pelaksanaan perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada 28 Julai lepas di Putrajaya.

Gencatan senjata itu dicapai menerusi mesyuarat khas yang dipengerusikan Anwar dan disertai Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet serta Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.

Pertikaian sempadan sepanjang 817 kilometer itu telah sekian lama menjadi isu sensitif antara kedua-dua negara sehingga menjejaskan hubungan diplomatik.

Ketegangan memuncak pada 28 Mei lalu apabila berlaku pertempuran di kawasan sengketa Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast