YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, semasa majlis penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC). 3 Ogos 2025. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.

KOTA KINABALU – Kes kematian pelajar Zara Qairina Mahathir mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menegaskan siasatan perlu dilakukan secara telus dan mendalam.

Perdana Menteri berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagi memastikan siasatan dilakukan dengan segera dan menyeluruh.

“Ada kematian baru-baru ini, Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) diserang, dituduh macam-macam. Apa jadi dengan negara kita? Kematian ini bukan perkara ringan,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Penutup Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan timbalannya Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Perdana Menteri turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau tuduhan tanpa bukti, sambil menegaskan bahawa Malaysia sebuah negara berteraskan undang-undang.

“Negara ini negara hukum, bukan negara fitnah. Siapa pun yang terlibat dalam jenayah pembunuhan, tidak akan diberi perlindungan,” kata Anwar.

Zara Qairina, 13, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar, Sabah pada 4 pagi, 16 Julai.

Pelajar berkenaan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai dan kes kematian pelajar berkenaan tular serta menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat di media sosial.

Semalam, Mohd Khalid berkata kertas siasatan kes kematian Zara Qairina telah disiapkan dan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. apa yg banyak org komen adalah hasil.siasatan yg begitu lama ,seorang peguam juga ada berkata kenapa tak diambil sample dna dia pakaian mangsa ketika terjatuh dari tingkat 3 tersebut untuk memastikan siapa berada bersama mangsa ketika kejadian ,moga Allah Swt berikan keadilan atas kematian mangsa aamiin…ya rabbal a’lamin Allahhuma aamiin

Comments are closed.