KUALA LUMPUR – Keletihan dan tidak cukup tidur dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan sebuah bas yang membawa murid Tadika Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Ampang di Jalan Persiaran Universiti 1, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, siasatan awal mendapati pemandu bas terbabit mengaku terlelap ketika kejadian akibat tidak mendapat rehat secukupnya.
“Suspek lelaki berusia 44 tahun itu telah ditahan dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan lanjut.
“Hasil saringan awal juga mendapati suspek bebas daripada sebarang pengaruh dadah dan alkohol. Siasatan mendapati kemalangan berlaku akibat pemandu tidak cukup tidur dan rehat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, bas tersebut dalam perjalanan dari kilang coklat Beryl’s menuju ke G2G Animal Garden di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) ketika kejadian.
Terdahulu, media melaporkan seramai 30 murid bersama lima guru dari tadika berkenaan terlibat dalam kemalangan selepas bas yang dinaiki terbabas lalu merempuh sebatang pokok di lokasi kejadian.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.18 tengah hari itu, seorang guru dan tiga murid mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala akibat terhantuk.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















