KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memberi amaran langkah kerajaan menjenamakan semula Dasar Pandang Ke Timur sebagai ‘kerjasama dengan Timur’ boleh menjejaskan hubungan strategik jangka panjang Malaysia-Jepun.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Look East Policy bukan sekadar slogan. Ia asas hubungan strategik Malaysia dan Jepun sejak RMK4 lagi. Mengubah naratif ini hanya untuk beri ruang kepada China tidak perlu. China sudah pun sebahagian daripada dasar itu sejak sekian lama,” katanya.
Tambahnya, langkah rebranding tanpa asas kukuh akan dilihat sebagai ketidakseriusan Malaysia menghargai kepercayaan yang telah dibina bersama Jepun selama lebih 40 tahun.
“Jepun buka kampus Tsukuba di Malaysia, tolong kita bangunkan Petronas dan bantu dalam krisis ekonomi 1998. Mereka tak pernah minta balasan kerana hubungan itu berasaskan kepercayaan. Mengubah dasar ini secara tergesa-gesa memberi isyarat yang salah,” tegasnya.
Wan Fayhsal juga menzahirkan kekecewaan terhadap dokumen RMK13 yang menurutnya hanya menyentuh peranan Wisma Putra dalam satu perenggan menunjukkan kelemahan ketara dalam merancang dasar luar ketika dunia sedang mengalami perubahan geostrategik ketara.
Beliau menyeru agar kerajaan lebih serius mengangkat peranan diplomat dan pakar dasar luar Malaysia, serta melibatkan pembangkang dalam pelaksanaan RMK13.
“Saya mohon kerajaan pertimbangkan cadangan pembangkang agar ditubuhkan kaukus Parlimen khas antara kerajaan dan pembangkang untuk menyelaraskan pelaksanaan RMK13 demi masa depan negara,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















