MELAKA – Sebuah pesawat latihan milik Malaysian Flying Academy Sdn. Bhd. (MFA) dilaporkan tergelincir dari landasan semasa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam, di sini, petang tadi.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), kejadian berlaku pada jam 2.55 petang melibatkan pesawat jenis Piper PA-28-181 dengan nombor pendaftaran 9M-SKR, yang sedang melakukan penerbangan latihan.
“Seorang juruterbang berada di dalam pesawat ketika kejadian dan kini sedang menerima rawatan perubatan.
“Kerja-kerja mengalihkan pesawat sedang dijalankan dan pemeriksaan penuh terhadap landasan akan dilakukan bagi memastikan keselamatan operasi,” kata kenyataan itu
Landasan dijangka dibuka semula pada jam 5 petang.
Tambahnya, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia akan menjalankan siasatan keselamatan mengikut peruntukan Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016. – MalaysiaGazette
















