BUTTERWORTH – Polis menahan seorang lelaki warga Vietnam yang cuba menarik bayi berusia 11 bulan semasa melarikan diri selepas ditangkap mencuri di sebuah pasar raya di Jalan Telaga Air di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu berlaku selepas penyelia pasar raya melihat suspek berusia 30-an cuba keluar membawa beberapa makanan laut tanpa membuat pembayaran.

“Penyelia itu berjaya menangkap lelaki tersebut namun suspek melepaskan diri dan bertindak menarik bayi lelaki yang bersama seorang ahli keluarga sambil memegang pisau sehingga berlaku pergelutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anuar berkata, suspek berjaya ditahan dengan bantuan beberapa pekerja pasar raya dan orang awam sebelum diserahkan kepada polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri, Seksyen 324 mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 ugutan jenayah.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Butterworth esok bagi proses mendapatkan tempoh tahanan reman,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat noleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Shuheri Abd Rani di talian 04-576 2222 sambungan 2275 atau mana-mana balai polis terdekat bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular video memaparkan situasi tegang di pasar raya itu apabila seorang lelaki memegang bungkusan plastik dan sebilah pisau cuba menarik bayi tersebut daripada seorang wanita. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast