KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuktikan mereka menjadi `bos’ atau ketua dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan hari ini.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia susulan parti itu tetap menerima Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, meskipun pemimpin tertinggi UMNO pernah mengeluarkan amaran berkenaan isu `curi ahli’ dan `menerima keahlian’ ahli yang melompat parti sebelum ini.
Selain itu, menurut beliau, pemimpin DAP sebelum ini turut memberi pelbagai gelaran kepada pemimpin UMNO antaranya `anjing liar’ dan `lalat’.
“Kesemua tindakan ini mencerminkan tiada rasa hormat sesama parti gabungan (Kerajaan Perpaduan).
“Mereka lupa, jika tidak kerana UMNO, mereka tidak menjadi kerajaan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Namun, ujar Annuar, harus diakui UMNO masih mempunyai `saudara’ iaitu Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ujarnya, UMNO masih berupaya membuat muafakat baharu dan memimpin kerajaan tanpa PKR dan DAP, yang sebenarnya boleh berlaku dalam sekelip mata.
Apatah lagi, tambah Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN), `DNA’ UMNO, Pas dan Bersatu lebih mudah disatukan berbanding DNA parti politik lain dan telah dibuktikan menerusi sejarah sebelum ini.
“Air dicincang tidak putus, carik-carik bulu ayam,akhirnya bertaut kembali,” katanya.
Sehubungan itu, tambah Annuar, MN akan terus berusaha untuk melihat politik negara yang lebih harmoni dan perpaduan yang lebih tulen menerusi gagasan penyatuan Melayu dan `payung besar’.
“UMNO tetap releven dan berperanan ke arah itu, meskipun tanpa PKR tanpa DAP. Jadi usah terlalu menghina.
“Siapa sebenarnya Boss belum tahu,” katanya. – MalaysiaGazette
















