KUALA LUMPUR – Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan lima wartawan Al Jazeera termasuk koresponden, Anas al-Sharif dalam serangan udara regim Israel berhampiran Hospital Al-Shifa di Gaza kelmarin.
Geramm dalam satu kenyataan hari ini berkata, kejadian itu bukan kemalangan biasa sebaliknya serangan yang sememangnya disasarkan terhadap para petugas yang sedang bertugas di kawasan yang diwartakan sebagai zon media.
Sehubungan itu, menurutnya, ia merupakan satu pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan serangan terhadap kebebasan media.
“Menurut Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) dan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF), lebih 130 wartawan dan petugas media telah terbunuh di Gaza sejak Oktober 2023 menjadikannya konflik paling dahsyat terhadap media dalam sejarah moden.
“Ramai terbunuh ketika menjalankan tugas menyampaikan maklumat kepada orang ramai dalam situasi yang menunjukkan mereka disasarkan secara sengaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media antarabangsa hari ini melaporkan, seramai lima wartawan Al Jazeera antara tujuh yang maut dalam serangan udara regim Israel yang menyasarkan sebuah khemah untuk wartawan di sekitar Hospital Al-Shifa di Gaza.
Sehubungan itu Geramm menuntut supaya Israel menghentikan segera serangan terhadap wartawan dan kemudahan media di Gaza.
Selain itu, tambahnya, siasatan bebas, telus dan tidak berpihak terhadap semua kes pembunuhan wartawan di Gaza juga perlu dijalankan, manakala pihak terlibat perlu bertanggungjawab penuh selaras undang-undang antarabangsa.
“Kami menegaskan wartawan adalah orang awam dan keselamatan mereka dilindungi di bawah Konvensyen Geneva. Sebarang serangan terhadap wartawan adalah serangan terhadap hak orang ramai untuk mengetahui maklumat,” katanya.
Sementara itu Geramm berdiri teguh bersama Al Jazeera, keluarga mangsa dan setiap wartawan yang mempertaruhkan nyawa untuk melaporkan kebenaran dari Gaza. – MalaysiaGazette
















