Mohamed Sukri Omar
Mohamed Sukri Omar.

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Selangor menyifatkan kuota 40 peratus penduduk Melayu atau bumiputera di ibu negara tidak wajar dimansuhkan sebaliknya perlu diperkasa dengan fokus kepada pemilikan sebenar, kualiti hidup dan peluang ekonomi yang adil.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, ia bukan isu politik perkauman sebaliknya berkenaan mempertahankan keseimbangan, kestabilan dan masa depan negara.

Tegas beliau, kuota bagi penduduk Melayu atau bumiputera di ibu negara yang ditetapkan bukan sekadar angka tetapi benteng mempertahankan hak dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadi sebahagian kontrak sosial negara ini.

“Tanpa benteng ini, bumiputera akan kembali terpinggir di tanah sendiri seperti yang pernah berlaku dalam sejarah. Bila hak ini dirobek, percayalah yang rugi bukan hanya Bumiputera tetapi seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menyifatkan cadangan dalam Rancangan Struktur Kuala Lumpur 2040 untuk memastikan peratusan penduduk Melayu atau Bumiputera di ibu negara kekal sekurang-kurangnya 40 peratus tidak lagi relevan kerana angka itu telah lama melepasi paras tersebut sejak lebih dua dekad lalu.

Menurut Chean Chung, berdasarkan statistik pada 2023, peratusan Bumiputera di Kuala Lumpur telah mencecah 47.4 peratus, meningkat 1.5 peratus berbanding 45.9 peratus pada tahun 2010.

Sementara itu, Mohamed Sukri berkata, meskipun kuota penduduk Melayu atau bumiputera di ibu negara ketika ini sudah mencecah 47 peratus namun ia tidak boleh dianggap `selesai’ atau memadai.

Ia kerana hakikatnya, menurut beliau, ia tidak menggambarkan situasi yang mana orang Melayu dan Bumiputera benar-benar memiliki rumah sendiri di ibu kota.

“Berapa ramai yang mampu tinggal di tengah bandar tanpa diusir oleh harga hartanah yang melambung?” soalnya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan Kuala Lumpur adalah nadi ekonomi negara, justeru sekiranya Bumiputera dipinggirkan, maka ia bukan sekadar kehilangan tempat, tetapi akses kepada peluang, jaringan perniagaan dan masa depan ekonomi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast