KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan menyeru semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu buli dan nyawa manusia khsusnya berkaitan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Aminolhuda berkata, adalah tidak wajar untuk pihak tertentu membuat spekulasi dan retorik politik berkenaan kes tersebut.
“Keluarga mangsa sedang melalui fasa yang sangat perit dan dukacita. Janganlah menambahkan luka dengan spekulasi dan retorik politik yang tidak berasas. Hormatilah perasaan dan maruah mereka,” kata Ahli Parlimen Parti Amanah Negara itu pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Turut hadir pada sidang media, Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat; Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan dan Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof.
Sementara itu, Aminohuda berkata, keperluan untuk memperjuangkan keadilan kepada remaja perempuan tersebut adalah menerusi siasatan yang adil dan telus oleh pihak berkuasa.
Jelasnya, kebenaran perlu dirungkai bagi menamatkan segala spekulasi yang tercetus sejak kematian Zara, 16 Julai lalu.
Sehubungan itu katanya, siasatan perlu dibuat secara bebas tanpa campur tangan luar.
“Kami berpandangan untuk memberi seluruh kepercayaan kepada pasukan khas polis Bukit Aman yang dibentuk untuk melengkapkan siasatan secara menyeluruh.
“Kami percaya pasukan penyiasat akan menggunakan segala sumber dan kepakaran bagi memastikan kebenaran terbongkar,” tambahnya.
Perkembangan terkini menyaksikan Pasukan Petugas Khas dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kini mengambil alih siasatan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Ia merupakan antara empat permintaan daripada peguam keluarga pelajar itu.
Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) dalam kenyataan semalam berkata, pasukan terdiri daripada sembilan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) itu digerakkan ke Kontinjen Sabah. – MalaysiaGazette
















