Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir diiringi pihak pengurusan UTM menyerahkan sumbangan kepada keluarga Pegawai Kadet Palapes UTM yang maut selepas latihan di Pulada, Johor Bahru, 28 Julai lalu.

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memberi jaminan akan memberikan kerjasama kepada keluarga dan pihak berkuasa dalam siasatan punca kematian Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UTM Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, UTM menegaskan, jaminan itu diberikan bagi membolehkan siasatan dapat dijalankan selaras dengan keperluan undang-undang.

“UTM mengambil maklum mengenai sidang media yang diadakan semalam oleh pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama-sama ahli keluarga Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.

“Pihak UTM merakamkan penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan semua pihak. UTM menghormati pihak keluarga dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya,” menurut kenyataan itu hari ini.

Sebelum itu, media melaporkan ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, yang merupakan pelatih Palapes UTM Skudai menuntut kubur anaknya itu digali semula bagi melakukan bedah siasat buat kali kedua.

Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata, tuntutan itu dibuat kerana tidak yakin punca kematian anak sulung daripada tiga beradik itu disebabkan sawan seperti dimaklumkan pihak terbabit.

Ibu itu percaya allahyarham anaknya itu dibelasah, dipukul dan didera hingga meninggal dunia ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (Pulada), Ulu Tiram di sini, pada 28 Julai lalu.

Ummu Haiman memaklumkan sudah melantik peguam dan memberitahu Menteri Pengajian Tinggi mengenai perkara itu selain dimaklumkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menyiasat kes berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, hingga kini dia belum menerima sebarang perkembangan hasil siasatan.

Ujar beliau, Allahyarham Syamsul Haris mengambil jurusan Sains Komputer (Keselamatan Siber) di UTM Skudai, Johor menjadi harapan keluarga selepas kematian bapanya pada Disember lalu.

Pada 1 Ogos lalu, polis dilaporkan akan menjalankan siasatan terperinci punca kematiannya semasa menjalani latihan di Pulada, pada 28 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Yusof Othman dilaporkan berkata, siasatan menyeluruh termasuk merakam percakapan saksi-saksi dan pegawai perubatan yang terlibat bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast