PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan akan memutuskan hari ini sama ada menolak atau membenarkan rayuan Peguam Negara yang mahu menyekat Datuk Seri Najib Razak daripada meneruskan semakan kehakiman berkaitan titah adendum.
Jika rayuan Peguam Negara ditolak, permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri untuk memaksa kerajaan mengemukakan dan seterusnya melaksanakan titah adendum, akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Sebaliknya, jika rayuan dibenar, Najib terlepas peluang untuk meneruskan permohonan itu dalam usaha mendapatkan perintah mandamus yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.
Perlu diketahui, Najib pada asalnya gagal mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman selepas permohonannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Julai tahun lalu.
Oleh yang demikian, keputusan mahkamah tertinggi negara amat penting kerana ia bakal menjadi penentu hala tuju isu titah adendum yang masih `tergantung’ sejak ia difailkan bekas Perdana Menteri, setahun lalu.

Rayuan itu akan diputuskan oleh panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Mahkamah akan menentukan secara sebulat suara atau majoriti sama ada mengekal atau mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Pada 9 Julai lalu, panel berkenaan selesai mendengar hujahan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan serta peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.
Dalam rayuannya, Peguam Negara mengemukakan tujuh persoalan undang-undang antaranya sama ada bukti baharu atau tambahan yang akan mempunyai kesan undang-undang secara langsung atau tidak langsung, boleh dikemukakan dalam semakan kehakiman.
Persoalan lain, sama ada Peguam Negara pada peringkat kebenaran semakan kehakiman, memikul tanggungjawab undang-undang mengesahkan kewujudan dan menyediakan salinan dokumen yang dipertikaikan.

Ketika berhujah, Muhammad Shafee antara lain menyatakan, Peguam Negara sepatutnya segera berterus-terang dari awal bahawa titah adendum wujud.
Hujah beliau, Peguam Negara sewajarnya melaksanakan kewajipan secara jujur (duty of candour) dengan memberikan maklumat yang benar termasuk dokumen pada peringkat prosiding Mahkamah Tinggi, sebaliknya beliau bertindak membantah kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan Najib.
Pada 2 Julai lalu, Mohd. Dusuki berhujah, Najib dan anaknya Datuk Mohamad Nizar tidak mengemukakan bukti munasabah berkaitan kewujudan titah adendum, walhal berpeluang berbuat demikian di peringkat permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Hujah beliau, Mohamad Nizar yang merupakan Exco Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, berpeluang mendapatkan titah itu kerana beliau kerap menghadiri mesyuarat dan pertemuan dengan Sultan Pahang.
Peguam Negara merayu keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu yang memerintahkan semakan kehakiman itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi agar meritnya didengar dan diputuskan oleh hakim berlainan.
Hakim terdahulu, Datuk Amarjeet Singh ketika menolak kebenaran semakan kehakiman, memutuskan empat afidavit bagi menyokong permohonannya termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah bersifat dengar cakap atau khabar angin.
Dalam permohonannya, Najib mahukan perintah mandamus bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu supaya kesemua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama daripada Seri Paduka ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.
Jika perintah itu wujud, kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022. – MalaysiaGazette















