BAYAN LEPAS – Hujan lebat lebih sejam pada awal pagi mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar daerah ini dilanda banjir kilat termasuk laluan utama dan kawasan berhampiran sungai.
Antara lokasi yang terjejas ialah Jalan Dato Ismail Hashim, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Mayang Pasir, Jalan Mahsuri, Sungai Bayan Baru, Sungai Tiram, Teluk Kumbar serta Batu Maung.
Keadaan itu dikesan seawal 5.50 pagi selepas tinjauan dilakukan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Barat Daya.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Barat Daya, Kapten (PA) Salman Rahimi Manaf memaklumkan, walaupun terdapat limpahan air di beberapa laluan, ia masih boleh dilalui kenderaan termasuk kereta kecil tanpa menimbulkan kesesakan besar.
“Pemeriksaan di Sungai Ara mendapati arus deras dengan paras air meningkat sehingga tiga meter. Namun hujan mula reda sekitar pukul 6.10 pagi dan paras air menurun secara perlahan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau turut menegaskan, banjir kilat kali ini tidak mengakibatkan sebarang pemindahan penduduk atau kemalangan jiwa.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Azrul Khairi Abu Bakar berkata pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berkaitan insiden itu.
“Pemantauan tetap dibuat di kawasan yang sering menjadi hotspot banjir kilat bagi memastikan keadaan benar-benar selamat,” katanya. – MalaysiaGazette
















