Antara dadah yang dirampas dalam serbuan tersebut.- Ihsan PDRM.

NIBONG TEBAL – Taktik sindiket memproses heroin di premis kediaman terbongkar apabila polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Sri Lanka dalam dua serbuan di Bukit Tambun di sini Selasa lalu.

Serbuan bermula pukul 4.30 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang itu membawa kepada rampasan lebih 1.1 kilogram (kg) dadah disyaki heroin, heroin base seberat 0.64 kg, kafein 4 kg serta pelbagai peralatan dan bahan kimia memproses dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, dua lelaki warga tempatan ditahan di sebuah rumah di Taman Tambun Permai manakala serbuan kedua kira-kira jam 5.04 petang menahan lelaki warga Sri Lanka bersama 26 kg kafein.

“Suspek utama mengaku memproses heroin manakala dua lagi bertindak sebagai penghantar dadah dan bahan kimia. Sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Januari lalu dengan dua suspek tempatan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Polis turut menyita empat kenderaan iaitu Toyota Vellfire, Honda Civic serta dua motosikal Yamaha LC135 bernilai RM134,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, keseluruhan nilai rampasan dadah dan kenderaan dianggarkan RM209,000 dan kes kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 19 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast