KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Malaysia B-23, Nafuzi Zain mengumumkan senarai 25 pemain untuk aksi Kelayakan Piala Asia B-23 di Pathum Thani, Thailand bulan depan.
Kesemua mereka akan melapor diri di kem latihan awal skuad kebangsaan pada Ahad ini sebagai persiapan menjelang aksi bermula 3 hingga 9 September depan.
Namun Nafuzi melakukan kejutan apabila tidak menyenaraikan beberapa pemain utama di mana dua daripada tiga mereka yang pernah menggalas tugas sebagai kapten sebelum ini.
Pemain pertahanan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili dan penyerang Muhammad Aliff Izwan Yuslan masing-masing antara yang diketepikan ketua jurulatih pasukan Nafuzi Zain.
Nafuzi turut tidak menyenaraikan penyerang berpotensi skuad Harimau Muda iaitu Fergus Tierney dalam senarai 25 pemain itu.

Bagaimanapun, beberapa pemain tonggak masih dikekalkan antaranya pemain pertahanan Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri yang juga seorang daripada kapten sebelum ini, penyerang Muhammad Haqimi Azim Rosli dan pemain tengah Ziad El Basheer Norhisham.
Selain itu, Nafuzi mengekalkan ketiga-tiga penjaga gol yang dibawa ke kejohanan Piala ASEAN B-23 di Jakarta bulan lalu iaitu Muhammad Haziq Aiman Mohd Esa, Syahmi Adib Haikal Mohd. Shukri dan Zulhilmi Sharani.
Skuad B-23 kebangsaan akan berlepas ke Bangkok pada Isnin depan bagi sesi latihan pusat di sana hingga 31 Ogos ini.
Dalam kelayakan itu, pasukan muda negara diundi di dalam kumpulan F bersama Thailand, Lubnan dan Mongolia.
Malaysia bakal memulakan kempen Kelayakan Piala Asia B-23 dengan bertemu Lubnan pada 3 September ini diikuti aksi bertemu Mongolia pada 6 September depan dan pasukan tuan rumah iaitu Thailand pada Selasa, 9 September ini. – MalaysiaGazette















