KUALA LUMPUR – Seramai 5,306 guru memilih untuk bersara awal secara pilihan yang diluluskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sejak 2022.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, seramai 6,394 guru pula memilih bersara awal pada 2023, manakala seramai 5,082 guru membuat keputusan sama pada 2024.
“Guru yang bersara secara pilihan itu bersamaan 1.17 peratus dari jumlah warga pendidikan di KPM dan seramai 2,397 guru bersara awal setakat Mei 2025,” katanya pada sesi pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bertanyakan kepada Menteri Pendidikan mengenai jumlah guru yang memilih untuk bersara awal bagi 2022 hingga 2024.
Mas Ermieyati juga meminta KPM menyatakan langkah untuk menangani isu kekurangan tenaga pengajar serta memastikan kesejahteraan guru melalui pengurusan beban kerja.
Menurut Kah Woh, KPM juga melaksanakan pengambilan guru tetap sebanyak dua kali setahun.
“Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) pula membuka sistem permohonan guru sepanjang tahun bagi mempercepat pengambilan dan penempatan guru,” katanya.
Selain itu, kata Kah Woh, KPM telah membuat penambahbaikan ke atas fungsi pengurusan di sekolah-sekolah di bawah kelolaannya melalui pewujudan Modul Tadbir Urus Sekolah (MySG) sejak 2021.
“KPM juga telah membangunkan dokumen Deskripsi Tugas (Job Description – JD) sejak 2016, yang menjelaskan akauntabiliti tugas yang spesifik serta dapat membantu guru dalam melaksanakan tugas dengan lebih efektif,” katanya.
Selain itu, katanya, KPM juga telah mengambil pendekatan holistik dan progresif dalam memastikan guru kekal bermotivasi menerusi inisiatif tujuh Langkah Kesejahteraan Guru.
“Inisiatif ini berfokuskan kepada pedagogi guru, pentaksiran, pengoperasian sekolah, penilaian peperiksaan dan pengurusan serta pentadbiran sekolah.
“Rumusan laporan tinjauan pelaksanaan tujuh Langkah Kesejahteraan Guru yang dilaksanakan pada Disember 2024 melibatkan 1,007 sekolah di seluruh negara, menunjukkan bahawa pelaksanaan inisiatif tersebut terbukti berjaya dalam keberkesanan pelaksanaannya,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan inisiatif ini juga menunjukkan hasil yang positif berdasarkan kajian Indeks Kesejahteraan Guru (IKG) pada November 2024 sehingga Januari 2025.
“Kajian tersebut melibatkan seramai 23,625 responden guru yang mencatat skor pada tahap tinggi iaitu 77.65 dari skala maksimum 100.
Katanya, KPM juga memanfaatkan teknologi secara sistematik melalui pelaksanaan Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) dan Sistem Pengurusan Identiti (idMe) yang mengintegrasikan data merentas pelbagai sistem.
“Ia membantu mengurangkan pengisian berulang dan beban perkeranian guru.
“Di samping itu, pelantar DELIMa menyediakan aplikasi AI, bahan PdP digital, dan latihan kejurulatihan untuk menyokong tugas guru secara lebih efektif dan kreatif,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















