BAYAN LEPAS – Cubaan seorang penumpang membawa masuk 100 anak pokok kulit kayu manis jenis Cinnamomum dari Taiwan tanpa permit import digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang hari ini.

Maqis dalam kenyataan berkata, rampasan tersebut merupakan hasil pemeriksaan pihak berkuasa di laluan ketibaan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Dua kotak pembungkusan berisi anak pokok itu dirampas kerana pengimportan dilakukan tanpa dokumen permit import sah sebagaimana ditetapkan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

“Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” jelas kenyataan itu.

Tambah Maqis, kes tersebut kini dalam siasatan lanjut dan semua anak pokok dirampas untuk tindakan susulan.

“Adalah menjadi tanggungjawab Maqis bagi memastikan pengimportan barang pertanian ke dalam negara diyakini selamat dengan pengisytiharan maklumat pengimportan yang sahih.

“Maqis tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran syarat dan cubaan membawa masuk barang pertanian yang akan menjejaskan keselamatan biosekuriti negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast