KUALA LUMPUR – Seramai tiga individu dari syarikat penerbitan Sarawak Tribune dipanggil untuk memberikan keterangan secara berasingan berikutan aduan awam mengenai penerbitan artikel bertajuk “Militant Using Press Cover Eliminated” yang disiarkan 12 Ogos lalu.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, siasatan difokuskan kepada penerbitan tidak diingini yang berpotensi menggemparkan fikiran orang ramai, menggugat ketenteraman awam serta melibatkan kemungkinan pelanggaran syarat permit di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
Menurutnya, KDN memandang serius perbuatan menyiarkan artikel tersebut yang menimbulkan kekeliruan, rungutan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Justeru, syarikat akhbar adalah diingatkan supaya lebih teliti, bertanggungjawab, dan beretika dalam penerbitan berita, selain memastikan kandungan tidak menimbulkan kontroversi atau menyentuh sensitiviti awam,” katanya.
Tambah kenyataan itu, kesalahan menyiarkan berita tidak benar, mengelirukan atau penerbitan yang dikategorikan sebagai tidak diingini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 301.
Jika disabitkan kesalahan, jelasnya, boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali, termasuk kemungkinan tindakan kepada pembatalan permit penerbitan.
Tegasnya, KDN tidak sesekali berkompromi dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang cuai dalam menerbitkan apa-apa hasil penerbitan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.
“Tindakan penguatkuasaan yang tegas atas kesalahan terhadap Akta yang berkuat kuasa akan dipertimbang sewajarnya selepas siasatan dilengkapkan,” katanya.
Dalam laporan muka depan bertarikh 12 Ogos lalu, Sarawak Tribune menyiarkan berita bertajuk ‘Militant using press cover eliminated’ merujuk kepada kematian wartawan Al-Jazeera, Anas al Sharif dalam serangan bom oleh regim Israel.
Tajuk berita itu mengundang kemarahan orang ramai yang menyifatkan seolah-olah melabelkan wartawan Palestin berkenaan sebagai pengganas.
Bagaimanapun, Sarawak Tribune kemudiannya memohon maaf berhubung laporan mengenai kematian tragis wartawan berkenaan yang didakwa mengandungi elemen tidak tepat dan kurang jelas. – MalaysiaGazette
















