KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menafikan tuduhan kononnya beliau bersetuju membenarkan 10,000 pelajar Bangladesh di Malaysia untuk bekerja selepas tamat pengajian.
Beliau berkata, tuduhan yang dibuat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah baru-baru ini adalah tidak benar sama sekali.
Serentak itu, beliau menasihatkan Haim Hilman lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan berhubung apa-apa isu termasuk yang berkaitan dengan pendidikan tinggi.
“Hanya berdasarkan laporan surat khabar di Bangladesh, beliau telah membuat tuduhan bahawa saya telah bersetuju memberi ‘Graduate Pass’ kepada 10,000 pelajar Bangladesh di Malaysia untuk membolehkan mereka bekerja di sini. Tuduhan tersebut adalah tidak benar dan tidak tepat sama sekali,” kata Zambry dalam satu kenyataan, hari ini.
Zambry menjelaskan, tidak ada sebarang Memorandum Persefahaman (MoU) atau perjanjian yang ditandatangani antara Malaysia dan Bangladesh semasa lawatan Pemenang Hadiah Nobel, Prof. Dr. Muhammad Yunus ke negara ini baru-baru ini.
Jadi, dakwaan beliau wujud perjanjian sedemikian adalah tidak berasas, tegasnya.
Malah, beliau menyifatkan dakwaan Haim kononnya rakyat resah kerana Malaysia telah bersetuju dengan perkara itu sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
“Sebagai seorang berlatarkan akademik, beliau seharusnya membuat kenyataan berdasarkan fakta yang benar, tepat, dan sahih, bukannya spekulasi atau menyebarkan maklumat semberono. Prinsip akademik menuntut kepada informasi yang berintegriti, bertepatan dan kebenaran,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menegaskan agar Haim Hilman tidak sewenang-wenangnya mencipta persepsi dengan menyampaikan maklumat yang mengelirukan rakyat.
“Budaya menghasilkan ‘content’ untuk diviralkan di media sosial dengan fakta yang salah perlu segera dihentikan,” tegas Dr. Zambry.
Semalam, Haim Hilman mendakwam terdapat cadangan untuk membenarkan kira-kira 10,000 graduan Bangladesh yang belajar di negara ini untuk mengakses peluang pekerjaan berkemahiran tinggi melalui pengenalan visa ‘graduate plus’ menimbulkan kebimbangan.
Dakwa beliau, perkara itu akan menjejaskan peluang graduan tempatan untuk memasuki pasaran kerja dalam bidang berkaitan.
Khamis lalu, Dhaka Tribune melaporkan, Malaysia dijangka memperkenalkan visa ‘graduate plus’ kepada pelajar Bangladesh yang menuntut di negara ini, sekali gus membolehkan ribuan daripada mereka mengakses pekerjaan berkemahiran tinggi dalam ekonomi negara yang sedang berkembang.
Penasihat Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Dr. Asif Nazrul berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan produktif dengan Malaysia dan secara prinsipnya telah bersetuju untuk mengeluarkan visa itu, namun kedua-dua pihak perlu melengkapkan beberapa formaliti tertentu sebelum dasar itu dapat dikuatkuasakan. – MalaysiaGazette
















