Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim menyampai sijil pengiktirafan Program Penilaian Keupayaan Dan Kemampuan Kontaktor (SCORE) 5 Bintang kepada Pengarah Urusan YP Maintenance Sdn. Bhd., Datuk Seri Hasnur Rabiain Ismail (kanan) dengan disaksikan Pengarah CIDB Negeri Pahang, Nur Iskandar Zulkefli (kiri) bertempat di Genting Highlands, pada semalam.

BENTONG – Setelah 13 tahun berjinak dengan industri pembinaan dan penyelenggaraan jalan di Pahang,  YP Maintenance Sdn. Bhd. diiktiraf Penilaian Keupayaan dan Kemampuan Kontraktor (SCORE) 5-Bintang daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Exco Pengangkutan, Kerja Raya dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali berkata syarikat  YP Maintenance menjadi syarikat kontraktor di negeri itu yang memperoleh pengtirafan itu sekali gus wajar dicontohi oleh syarikat konsesi lain.

Bukan sahaja perkhidmatan cemerlang dalam memastikan jalan berada pada keadaan baik namun kejayaan itu wajar dijadikan kayu pengukur kepada semua pihak bahawa anak syarikat milik kerajaan negeri itu mampu memberikan kualiti terbaik.

Datuk Ir. Razali Kassim (dua dari kiri) ketika merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Skor 5 Bintang CIDB kepada YP Maintenance pada semalam

Penilaian SCORE tersebut dibangunkan dengan kerjasama SME Corp yang bertujuan untuk mempertingkatkan lagi dan mengukur keupayaan serta kemampuan kontraktor tempatan melalui sistem rating yang efisyen dan komprehensif.

“Lebih membanggakan, syarikat ini turut dinobatkan sebagai syarikat penyenggaraan jalan pertama di Pantai Timur yang meraih penilaian SCORE 5-Bintang daripada CIDB Malaysia.

“Kita haraplah semua syarikat konsesi ini dapat lima bintang. Boleh jadikan sebagai contoh, tempat rujukan kerana saya percaya YP Maintanance juga tidak kedekut ilmu,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Skor 5 Bintang CIDB kepada YP Maintenance di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Urusan YP Maintenance Sdn. Bhd., Datuk Seri Hasnur Rabiain Ismail, serta Pengarah CIDB Negeri Pahang, Encik Nur Iskandar Zulkefli.

Penilaian yang dijalankan pada setiap tahun itu bertujuan memberi peluang kepada para kontraktor untuk terus berkembang melalui peningkatan kecekapan.

Selain itu, ia merupakan peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka sambil menjadi kontraktor yang lebih mantap, berdaya saing dan mampan.

Ia turut membolehkan pemimpin industri menilai kembali keputusan SCORE tahunan yang diumumkan.

Syarikat konsesi tersebut diberikan penganugerahan berdasarkan keupayaan dan pencapaian mereka dalam aspek kewangan, teknikal, projek, perolehan, amalan terbaik dan kecekapan dalam pengurusan.

Tambah Razali, YP Maintenance diberi peruntukan kira-kira RM115 juta daripada lebih RM400 juta bersamaan iaitu 25 peratus daripada keseluruhan peruntukan setahun bagi penyelenggaraan jalan negeri melalui tabung Malaysian Road Records Information System (MARRIS).

“Setakat ini alhamdulillah, setiap tindakan segera itu akan diambil oleh YP Maintenance. Saya juga difahamkan bahawa pihak YP Maintanance juga ada unit rondaan yang sentiasa melihat di mana sekiranya ada kerosakan akan diambil tindakan segera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast