BAYAN LEPAS – Bungkusan syabu seberat 11.2 kilogram yang dibuang ke laut oleh sindiket penyeludupan ketika dikejar Pasukan Polis Marin (PPM), berjaya ditemui semula berhampiran perairan Teluk Kumbar di sini, pada Jumaat lalu.
Kejadian kira-kira jam 8.10 malam itu berlaku selepas sepasukan anggota PPM menerima maklumat berhubung kegiatan penyeludupan masuk dadah di perairan Pulau Pinang sebelum bot ronda RH 35 digerakkan dari Markas PPM Wilayah Satu.
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, pasukan operasi mengesan sebuah bot bergerak laju dalam keadaan mencurigakan menuju ke perairan antarabangsa disyaki Indonesia tanpa menyalakan lampu navigasi.
Katanya, bot berkenaan cuba dipintas namun mereka bertindak memecut laju dan mengemudi secara berbahaya selepas menyedari kehadiran pasukan keselamatan.
“Ketika insiden kejar-mengejar itu, pasukan melihat beberapa objek dibuang ke laut dari bot suspek sebelum mereka melarikan diri dengan kelajuan tinggi dan gagal dikesan.
“Hasil pencarian pasukan di kawasan terbabit menemui sebuah tong biru bertutup yang mengandungi 11 bungkusan plastik berwarna kuning keemasan bertulis Guanyinwang Refined Chinese Tea.
“Kesemua methamphetamine dengan berat 11.19 kilogram itu dianggarkan bernilai RM352,000,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Rusley, kes itu diserahkan kepada pegawai penyiasat Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“PPM Wilayah Satu akan terus mempergiat rondaan, operasi serta risikan bagi membanteras penyeludupan dadah dan lain-lain barangan terlarang demi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara daripada ancaman jenayah,” katanya. – MalaysiaGazette
















