KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai motif untuk mensabotaj SRC International Sdn. Bhd., hanya untuk menjawab kehilangan berbilion-bilion wang milik syarikat itu.
Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee berhujah, tidak munasabah bahawa bekas Perdana Menteri berpakat untuk merosakkan syarikat yang ditubuhkannya sendiri untuk melaksanakan projek kepentingan negara.
Hujah beliau, sebagai figura awam, Najib mempunyai segala sebab mahukan SRC International berjaya kerana syarikat itu disebut-sebut sebagai perusahaan strategik di antara 2011 dan 2012.
“Plaintif gagal menunjukkan Najib memperoleh keuntungan peribadi hasil konspirasi yang menjelaskan niat jahatnya.
“Tuduhan berkaitan AS$120 juta, yang didakwa sebagai keuntungan diterima Najib, tidak dapat dibuktikan.
“Oleh yang demikian, tindakan Najib adalah konsisten dengan seseorang yang mahukan SRC berkembang maju, bukan seseorang yang merancang kejatuhannya,” hujah Muhammad Farhan.
Mahkamah sebelum ini diberitahu, bekas Perdana Menteri harus bertanggungjawab terhadap kerugian AS$1.18 billion yang ditanggung SRC International kerana salah guna kuasa yang dilakukannya ketika memegang jawatan dalam kerajaan serta memperoleh ganjaran daripada dana syarikat itu.
Peguam Datuk Lim Chee Wee berhujah, SRC International yang pada dasarnya bertujuan memenuhi keperluan rakyat, sebenarnya menjadi mangsa penipuan berskala besar melalui bekas Perdana Menteri selaku benefisiari utama.
Hujah beliau, meskipun syarikat itu mengalami kerugian besar sebanyak AS$1.18 bilion, Najib (defendan pertama) secara peribadi menerima AS$120 juta ke dalam akaun miliknya dan RM42 juta yang merupakan perkara dalam saman berasingan.
Mahkamah sedang mendengar penghujahan kes saman SRC International terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil.
SRC International, di bawah pengurusan baharu memfailkan saman itu pada Mei 2021, atas dakwaan Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.
Plaintif juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib adalah bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balik kerugian yang dialami berjumlah RM42 juta.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung 24 September ini. – MalaysiaGazette
















