KUALA LUMPUR – Aspek penjenamaan semula Lembaga Tabung Haji (TH) disifatkan sangat penting kerana ia mencerminkan kemampuan TH untuk kekal relevan dengan perubahan zaman.
Setiausaha Agung Persatuan Senior Kewangan Islam, Dr. Razli Ramli berkata, operasi TH kini berhadapan cabaran baharu termasuk kehendak pengurusan haji yang lebih kompleks, tuntutan masyarakat yang semakin tinggi serta landskap ekonomi negara dan global yang berubah pantas.
Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Strategi & Risiko, Azman Hashim International Business School, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menambah, penjenamaan itu mesti dilaksanakan secara berhemah termasuk memastikan benar-benar memberi nilai tambah kepada imej dan operasi TH bukan sekadar kosmetik atau branding exercise semata-mata.

Tambah beliau, perbelanjaan berjumlah RM20 juta bagi penjenamaan semula TH juga disifatkan wajar jika pulangannya benar-benar memberi impak kepada jenama TH peringkat nasional dan antarabangsa.
“Sebagai institusi yang sudah diiktiraf dunia dalam pengurusan haji, TH mempunyai kedudukan istimewa yang perlu dipertahankan malah diperkasakan.
“Setiap wang daripada jumlah perbelanjaan bagi penjenamaan semula tersebut mesti digunakan secara optimum tanpa ketirisan bukan sahaja untuk membesarkan nama TH tetapi juga meningkatkan keyakinan umat Islam dan keberkesanan operasi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, isu penjenamaan TH dibangkitkan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary ketika perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat yang menuntut pencerahan berhubung kos penjenamaan semula agensi tersebut yang dikatakan bernilai RM20 juta dengan tiga firma bukan Islam terbabit dalam projek itu.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar menjelaskan, pelantikan konsortium gabungan syarikat-syarikat perunding TH yang dilakukan melalui proses rundingan terus tidak melibatkan dalam urusan dasar institusi kewangan umat Islam itu.
Sementara itu, Razli tidak menolak tanggapan keputusan melantik syarikat bukan Islam dalam usaha penjenamaan TH boleh mencetuskan persepsi negatif dan mengundang krisis keyakinan.
Ini kerana, kata beliau, TH adalah institusi milik umat Islam negara ini yang sarat dengan nilai spiritual dan emosional.
Lebih memburukkan keadaan, tambahnya, keputusan itu juga boleh ditafsirkan sebagai campur tangan pihak luar terhadap urusan umat Islam, sekali gus menimbulkan krisis reputasi yang serius.
“Persepsi umum ialah TH adalah `Islam’, maka apa-apa tindakan yang dilihat tidak sejajar dengan nilai Islam atau mengabaikan potensi syarikat Muslim tempatan akan mencederakan imej TH,” katanya. – MalaysiaGazette
















