KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Datuk Seri G. Gnanaraja memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menerima beg hitam berisi wang tunai RM1 juta ketika dalam perjalanan menghadiri majlis rasmi di Hartamas, di sini, lapan tahun lalu.
Gnanaraja berkata, beliau menyerahkan beg itu kepada Guan Eng dalam kereta yang dipandu oleh Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli ke destinasi berkenaan pada 20 Ogos 2017.
Saksi pendakwaan ke-37 itu menyatakan, beliau turut menyerahkan satu lagi beg hitam mengandungi wang tunai RM1 juta kepada Guan Eng yang mengunjungi kediamannya pada awal pagi, 29 Ogos 2017.
Gnanaraja menyatakan demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan bekas Ketua Menteri itu.
Menceritakan kejadian penyerahan wang yang pertama, ahli perniagaan itu berkata, pada petang 20 Ogos, Zarul Ahmad menjemputnya di rumah sebelum menghala ke Hotel Wen Worth di Jalan Pudu iaitu tempat Guan Eng menginap.
Ujar Gnanaraja, ketika mereka bertiga tiba di sekitar Publika, Hartamas, Zarul Ahmad memberhentikan kereta di tepi jalan dan beliau menyerahkan beg berisi wang kepada Guan Eng.
Menurut saksi penting kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang itu, sebelum tiba di Hartamas, Guan Eng turut memberitahu bahawa beliau berhasrat membincangkan urusan kewangan sulit yang akan disalurkan kepadanya (Guan Eng).
Ujar Gnanaraja, Guan Eng juga memaklumkan beliau (Gnanaraja) tidak perlu ke Pulau Pinang selepas Zarul Ahmad membayangkan rumahnya (Gnanaraja) lebih privasi dan selamat untuk mengadakan perbincangan.
“Dalam perbualan itu, Guan Eng ada meminta saya
menyediakan sebuah syarikat dan akaun bank. Perkara selanjutnya akan dibincangkan semasa lawatan beliau ke rumah saya di mana tarikh dan masa akan diberitahu kelak oleh Datuk Zarul.
“Guan Eng juga memaklumkan sebelum akhir bulan Ogos 2017, beliau akan datang ke rumah saya untuk membincangkan dan memutuskan segala urusan kewangan dana yang melibatkan projek terowong dasar laut,” ujarnya.
Pada 28 Ogos, Zarul Ahmad menelefon memberitahu bahawa beliau akan membawa Guan Eng ke rumahnya pada malam tersebut, namun kedua-duanya tiba kira-kira pukul 1 pagi esoknya (29 Ogos).
Dalam keterangannya, Gnanaraja berkata, mereka bertiga turut mengadakan perbincangan terperinci mengenai penerimaan dan pengeluaran kewangan projek terowong.
Ujar saksi itu, Zarul Ahmad turut meminta supaya akaun sebuah syarikat dijadikan instrumen bagi pembayaran rasuah kepada Guan Eng.
“Saya telah diberitahu oleh Guan Eng bahawa beliau memerlukan orang yang boleh dipercayai dan menguruskan wang yang akan disalurkan kepada beliau. Saya adalah orang yang tepat kerana saya seorang yang bebas dan bukan ahli DAP.
“Tujuan permintaan Guan Eng untuk membuka akaun bank adalah untuk penyaluran wang kepadanya berjumlah berjumlah lebih kurang RM30 juta yang mana punca wang adalah daripada Datuk Zarul.
“Dalam pengetahuan saya, nilai projek terowong yang dianggarkan adalah berjumlah RM6.3 Billion. Saya sahkan bagi jumlah 10 peratus daripada keuntungan projek berjumlah RM6.3 billion adalah untuk Guan Eng sendiri,” ujarnya.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok. – MalaysiaGazette
















