KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Perkida) membantah sekeras-kerasnya Rang Undang-undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini kerana ia adalah satu bentuk pengkhianatan besar kepada rakyat Malaysia.
RUU ini bukan sahaja merampas hak pemilik tanah dan kediaman, malah membuka pintu kepada pemaju rakus untuk menindas rakyat atas nama pembangunan.
Presidenya, Datuk Mohd Foad Mat Isa berkata, pihaknya mengambil maklum jaminan dan janji kerajaan bahawa RUU ini tidak akan mengambil hak Melayu dan bumiputera serta mengikis kuasa kerajaan negeri namun menyifatkan ia hanyalah sekadar “jaminan politik” yang tidak ada nilai di sisi undang-undang.
Menurut beliau, sekiranya RUU ini diterima, maka apa sahaja yang terkandung di dalamnya akan terpakai dan menjadi rujukan di mahkamah dan bukan lagi kata dan janji manis kerajaan.
Mendakwa RUU umpama ‘rompakan terancang’ apabila cadangan menurunkan ambang persetujuan kepada hanya 75–80% dan had umur bangunan kepada 30 tahun sahaja untuk tujuan pembangunan semula.
Secara logiknya, terdapat individu yang membuat pinjaman perumahan selama 35 tahun, namun apabila rumah yang dibeli sudah mencecah usia 30 tahun, pihak kerajaan mempunyai kuasa untuk membangunkan semula.
Ini bermakna, belum sempat pinjaman diselesaikan, individu tersebut bakal berhadapan dengan pinjaman baharu pula untuk membeli rumah.
“RUU ini jelas sekali hanya menguntungkan syarikat-syarikat pemaju perumahan apabila kawasan-kawasan perumahan lama atau sedia ada yang menjadi tempat berlindung rakyat marhaen akan dibangunkan menjadi kawasan elit menyebabkan rakyat marhaen diusir secara terhormat dari tempat asal-usul mereka dan merempat di tanah air sendiri atas nama pembangunan.
“Begitu juga dalam isu kegagalan menjual rumah baharu di bawah kuota bumiputera. URA juga berpotensi menghapuskan kuota bumiputera dengan alasan “sukar dijual”, menghakis ekuiti dalam hartanah bandar, serta mempercepat gentrifikasi yang menghalau penduduk asal keluar dari bandar raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Pekida mengingatkan semua ahli Parlimen baik dari khususnya pihak kerajaan agar tidak sekali-kali bersekongkol dalam menindas dan mengkhianati mandat rakyat dengan meluluskan RUU URA.
“Jika kerajaan anda memilih untuk meluluskan RUU URA, ia bermakna anda memilih untuk bersubahat dengan pemaju menindas rakyat,” ujarnya sambal berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan semula cadangan meneruskan pelaksanaan URA buat masa ini.
Jelas Mohd Foad,kerajaan seharusnya mengkaji semula dan menambah baik kelopongan dan ketaksamaan dan juga memberi peringatan bahawa tanah rizab Melayu, tanah wakaf, tanah adat dan tanah pertanian bakal tergadai di bawah RUU
ini.
Dan, jangan cuba menipu rakyat dengan retorik pembangunan, sedangkan hakikatnya RUU ini membuka ruang kepada pengusiran halus, perubahan demografi masyarakat, dan hilangnya identiti asal sesuatu kawasan. – MalaysiaGazette
















