KUANTAN – Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini hari ini atas dakwaan mengemukakan pernyataan palsu kepada Pendaftar Syarikat mengenai peletakan jawatan tiga pengarah syarikatnya dua tahun lepas.
Datuk Seri Mohd Nazrul Izad Mohd Arsad, 46, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Mengikut pertuduhan, Mohd Nazrul Izad dan Datuk Azjuriyahti Azlan didakwa bagi mencapai niat bersama telah membenarkan setiausaha syarikat KMDI Holding Sdn Bhd membuat suatu pernyataan palsu dalam dokumen Section 58 Notification of Change In The Register Of Directors, Managers And Secretaries.
Pernyataan itu melibatkan peletakan jawatan tiga pengarah syarikat itu iaitu L. Sivakumar a/l Lokanathan, 52; Profesor Madya Dr. Mohd Zainizan Shahdan, 47 dan Shahkeer Azzat Zailan, 43.
Kesalahan itu didakwa dilakukan Mohd Nazrul Izad di Wisma KMDI, Jalan Gambut, di sini, pada 20 Jun 2023.
Bagi kesalahan terbabit, dia didakwa mengikut Seksyen 591 (2) (a) Akta Syarikat 2016 (Akta 777) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membolehkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM3 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Peguam Pendakwa Kanan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Faizal Mahdi Mahmud memohon agar Hakim mengenakan jaminan sebanyak RM100,000 terhadap Mohd Nazrul Izad setelah mengambil kira kesukaran mendapatkan kerjasama ahli perniagaan itu termasuk tiga kali ketidakhadirannya ke Mahkamah yang mengakibatkan waran tangkap dikeluarkan.
Sazlina bagaimanapun membenarkan wang jaminan sejumlah RM10,000 dikenakan terhadap ahli perniagaan itu dengan seorang penjamin bercagar.
“Saya beri amaran. Datuk Seri perlu beri kerjasama dan jangan kacau ganggu perjalanan kes. Ikut arahan jika diperlukan. Setiap kali ada sebutan, Datuk Seri perlu datang,” kata Sazlina.
Beliau turut menetapkan tarikh 15 Oktober depan bagi sebutan semula dan serahan dokumen berkaitan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Mahkamah keluar waran tangkap kepada ahli perniagaan bergelar Datuk Seri
















