Mohammad Dziauddin.

GEORGE TOWN – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang mengambil langkah proaktif dengan menawarkan khidmat kaunseling kepada pasangan guru yang dikaitkan dalam insiden kelar di Taman Tunas Muda, Sungai Ara di sini.

Pengarah Pendidikan Negeri, Mohammad Dziauddin Mat Saad berkata, kedua-dua guru kini masih bercuti sakit, dengan guru wanita sudah dibenarkan keluar hospital manakala suaminya masih menerima rawatan.

Jelasnya, JPN sentiasa memastikan guru-guru mendapat sokongan sewajarnya terutama dalam situasi yang boleh menjejaskan emosi dan kesejahteraan mereka.

“Kami bersedia memberikan khidmat kaunseling terutama bagi pemulihan emosi. Ini adalah prosedur biasa, sama seperti jika guru menghadapi kehilangan atau situasi lain yang memerlukan sokongan psikologi.

“JPN juga memantau perkembangan kedua-dua guru dan akan menilai semula situasi mengikut kesediaan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, hasil semakan dengan pihak sekolah mereka bertugas, guru besar memaklumkan kedua-dua guru itu menunjukkan prestasi tinggi dan aktif dalam tugasan.

“Mereka juga tidak mempunyai rekod masalah di sekolah atau di peringkat jabatan.

“Justeru kita harap masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden dan menunggu siasatan polis selesai,” katanya.

Media semalam melaporkan seorang wanita nyaris maut selepas ditikam suaminya yang juga seorang guru dalam kejadian di sebuah kediaman di Taman Tunas Muda, Sungai Ara di sini.

Kejadian kira-kira jam 6 pagi itu disedari ibu mangsa selepas terdengar jeritan anaknya dari tingkat atas sebelum mendapati menantunya sedang menindih mangsa sambil cuba mengelar leher isterinya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast