JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang lelaki dan dua wanita warga tempatan sebelum merampas dadah serta sepucuk pistol dalam kereta Mazda 5 dinaiki mereka di Jalan Alor Bukit, Kulai, pada 14 Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk M berkata, kereta peronda polis (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menahan kereta itu pukul 1.20 pagi.
Menurutnya, anggota polis MPV berkenaan menahan sebelum melakukan pemeriksaan selepas mendapati kereta tersebut berada dalam keadaan mencurigakan.
“Kita menahan seorang lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia 18 hingga 42 tahun. Hasil pemeriksaan dalam beg milik sandang lelaki tersebut menjumpai beberapa paket plastik berisi dadah jenis syabu, heroin, ganja dan pil ekstasi.
“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan dengan disaksikan suspek lelaki telah menemukan sepucuk pistol semi auto 9MM, selaras peredam bunyi 9MM.
“Ini termasuk satu kelopak peluru serta 175 butir peluru hidup 9MM yang disembunyikan di bahagian bonet hadapan kenderaan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjek (IPK) Johor di sini hari ini.
Katanya, hasil semakan mendapati tangkapan lelaki memiliki 23 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Tangkapan wanita pula katanya, masing-masing mempunyai dua dan 17 rekod jenayah lampau.
Kumar berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis meth dan morphin manakala dua suspek wanita adalah negatif.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati, suspek lelaki terlibat dalam kejadian samun di sebuah klinik swasta di kawasan Masai, Pasir Gudang pada 17 Julai lalu.
Jelasnya, kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 dan Seksyan 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 39A(2) dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,”katanya. – MalaysiaGazette
















