PUTRAJAYA – Lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya di sini  hari ini bagi menyambut Hari Kebangsaan 2025 dalam suasana penuh meriah dan sarat dengan semangat patriotik.

Jawatankuasa Media dan Publisiti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 dalam kenyataan memaklumkan, sambutan bertemakan Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni itu diserikan dengan keberangkatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Turut berangkat Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.

Hadir sama memeriahkan sambutan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan-Timbalan Perdana Menteri; barisan Menteri Kabinet serta duta-duta dan konsulat asing di Malaysia.

Sambutan tahun ini menekankan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat menjadi keutamaan, selari dengan prinsip Malaysia Madani yang mengangkat nilai perpaduan, kesejahteraan dan kemanusiaan.

Acara kemuncak sambutan ialah perbarisan dan perarakan membabitkan seramai 14,062 peserta dari pelbagai agensi dan sektor.

Ia merangkumi pancaragam, aset hidup dan kenderaan, serta penyertaan kontinjen daripada sektor ekonomi, telekomunikasi, industri kreatif, sukan dan keselamatan.

Lebih istimewa, sambutan kali ini turut menyaksikan penyertaan sulung Kontinjen Kepengerusian ASEAN 2025 sempena peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, serta Kontinjen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Sementara itu, pentas Dataran Putrajaya turut disemarakkan dengan Persembahan Khas Malaysia Madani yang menghimpunkan 1,000 peserta dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), persembahan Teres Grafik Manusia oleh 2,000 pelajar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta pertunjukan bag pipe dan udara oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pengunjung turut terhibur dengan persembahan istimewa daripada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menyampaikan lagu tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast