KUALA LUMPUR- Rangka manusia lengkap berpakaian ditemukan seorang penoreh getah di kebun Kampung Padang Besar, Kuala Ketil, pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali berkata, pihaknya menerima laporan daripada penoreh berkenaan sekitar jam 11 pagi.
Menurutnya, berhampiran lokasi penemuan rangka itu, polis turut menemui sebuah motosikal jenis SYM berwarna biru bernombor pendaftaran KDS 5236, kira-kira 25 meter dari lokasi mayat.
“Rangka berkenaan ditemui dalam keadaan terlentang dengan kaki berada di atas tong plastik putih serta terdapat sebilah pisau di bahagian kiri si mati.
“Hasil semakan mendapati terdapat laporan orang hilang dibuat oleh isteri mangsa pada 29 Ogos lalu, selepas suaminya tidak pulang sejak keluar rumah pada 24 Ogos,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Salimi berkata, pengecaman mayat dilakukan oleh isteri dan anak tiri mangsa berdasarkan pakaian serta motosikal yang ditemukan di lokasi kejadian.
Mayat kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian. – MalaysiaGazette















