KUALA LUMPUR – Pasar raya besar, Giant menurunkan harga beras basmathi paket 5 kilogram berikutan tular di laman media sosial yang mendakwa berlaku kenaikan harga lebih RM20 barangan asas itu.
Harga beras tersebut diturunkan kepada RM35 daripada RM55.90 berkuat kuasa serta merta untuk menyamai harga promosi.
Menurut Giant, pihaknya telah dimaklumkan bahawa promosi dari pembekal tidak disampaikan dengan baik kepada kakitangannya disebabkan oleh masalah dalaman.
“Ini merupakan satu kesilapan yang tidak disengajakan, dan ia telah menyebabkan harga jualan kami lebih tinggi daripada harga promosi pasaran,” katanya menerusi hantara di laman Facebook, hari ini.
Tambahnya, Sebaik sahaja Giant sedar akan situasi itu, pihaknya telah mengambil tindakan segera.
“Kami sedar akan siaran-siaran tular di media sosial mengenai harga jenama beras tertentu di kedai kami.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kerana membawa perkara ini kepada perhatian kami dan memohon maaf atas kekeliruan serta kekecewaan yang berlaku,” ujarnya.
Katanya, Giant percaya pada penetapan harga yang adil dan telus dan pasar raya itu komited untuk berkhidmat kepada para pelanggan, terutamanya pembeli MyKasih.
Menurut hantara itun, Giant menghargai kepercayaan pelanggannya dan sedang berusaha untuk memastikan perkara sama tidak berulang lagi.















