PORT DICKSON – Dua kanak-kanak lemas selepas kereta yang diparkir bapanya di tebing Sungai Linggi, dekat Jambatan Tanjung Agas, Telok Kemang di sini untuk memancing tiba-tiba menggelongsor dan tenggelam ke dalam sungai pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu mengakibatkan mangsa perempuan berusia lapan tahun dan adik lelakinya terperangkap di dalam kereta sebelum hanyut sejauh 40 meter ke tengah sungai dan tenggelam pada kedalaman empat meter.
Lebih menyayat hati, kejadian disaksinya sendiri ibu mangsa berusia 40 yang ketika itu turut berada di dalam kereta namun sempat diselamatkan orang awam sebelum kereta berkenaan tenggelam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian empat sekeluarga itu sedang bersantai sebelum memancing di dalam kereta yang diparkir 10 meter dari tebing sungai dalam keadaan enjin dimatikan.
“Ketika lelaki berusia 40-an itu menghisap rokok, tiba-tiba kereta jenis Nissan Teana itu menggelongsor ke dalam sungai yang Paras air tengah surut.
“Kebetulan pada masa yang sama orang ramai yang berada di kawasan itu berjaya menyelamatkan wanita berkenaan kecuali dua kanak-kanak terbabit yang tenggelam di dasar sungai,”katanya ketika ditemui di lokasi di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDPA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kemudian menemukan mayat seorang kanak-kanak perempuan pada jam 1.24 tengah hari, diikuti kanak-kanak lelaki 23 minit kemudian.
“Kedua-duanya mangsa yang lemas ditemui di ruang tempat duduk penumpang hadapan dalam keadaan kereta terbalik pada kedalaman kira-kira empat meter.

“Jenazah dua beradik itu kemudian dihantar ke Hospital Port Dickson untuk proses bedah siasat manakala ibu dan bapa mangsa juga menerima rawatan di hospital sama,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















