Keadaan banjir di Hulu Langat, semalam. Ihsan foto Jabatan Amal Negeri Selangor

KUALA LUMPUR – Banjir kilat yang melanda Hulu Langat semalam akibat hujan lebat lebih sejam dilaporkan sudah surut sepenuhnya pagi ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di media sosial mendapati keadaan di kawasan terjejas, termasuk Sungai Serai yang paling teruk dilanda banjir kembali pulih sekitar jam 7.15 pagi tadi.

Seorang pengguna Facebook, Nour Cahaya Tarriaq menerusi hantaran dalam kumpulan Info Warga Hulu Langat bertanya mengenai keadaan di kawasan itu sebelum dijawab oleh pengguna lain, Anoo Re, yang memaklumkan beliau melalui Sungai Serai pada jam 7.15 pagi dan mendapati banjir sudah surut.

Namun, seorang penduduk lain, Lela Surip, mengingatkan orang ramai agar berhati-hati kerana terdapat banyak objek tajam di jalan selepas air surut.

“Dah surut tapi hati-hati banyak benda tajam, kereta saya tayar pancit tak tahu paku atau apa yang cucuk,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Abrani Yunus, turut mengesahkan keadaan jalan kembali pulih.

“Line clear, jalan bersih,” katanya ringkas.

Semalam, beberapa kediaman berhampiran sungai di Hulu Langat dinaiki air lumpur sehingga paras lutut selepas hujan lebat, memaksa penduduk bersiap sedia memindahkan barang berharga sekiranya keadaan bertambah buruk.

Sementara itu, dalam satu video yang tular di media sosial semalam, kedengaran bunyi siren menandakan paras air sungai sudah melepasi tahap bahaya dan penduduk diminta berwaspada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast