KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan meneliti permintaan pihak yang memohon kerajaan supaya menaikkan harga runcit beras putih tempatan (BPT) kepada RM3.60 sekilogram berbanding RM2.60 ketika ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya akan membuat kajian mengenai perkara itu disebabkan harga beras import yang menurun sekaligus mengurangkan permintaan terhadap beras tempatan.
“Kita sedang buat kajian dan meneliti perkara itu disebabkan harga beras import sekarang menurun.
“(Kenaikan harga) tidak boleh dibuat dengan tergesa-gesa sebab perubahan harga akan sentiasa berlaku. Harga beras import sekarang memang murah dan kita sedang membuat kajian intensif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Forum Pengairan Dunia ke-4 (WIF4) dan Mesyuarat Majlis Eksekutif Antarabangsa ke-76 (IEC) di World Trade Centre di sini hari ini.
Forum tersebut turut menghimpunkan 500 peserta dari dalam dan luar negara yang terdiri daripada penggubal dasar, organisasi kerajaan, badan korporat, penyelidik dan komuniti petani, berlangsung sehingga 13 September ini.
Terdahulu media melaporkan, Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM) memohon kerajaan menaikkan harga runcit beras tempatan kepada RM3.60 sekilogram berbanding RM2.60 ketika ini.
Kenaikan itu selaras dengan peningkatan kos operasi dan harga lantai belian padi sebanyak RM1,500 satu tan metrik sejak 16 Februari lalu.
Gesaan sama turut disuarakan oleh Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) yang menuntut kenaikan harga itu disebabkan pihak pengilang dan pemborong berdepan kos lain yang perlu ditanggung.
Baru-baru ini, Mohamad memaklumkan pihaknya sedang membuat kajian secara mendalam susulan beras tempatan yang kurang laku di pasaran berikutan kadar harga tidak terlalu jauh berbeza dengan beras import. – MalaysiaGazette
















