Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan perasmian ketika hadir pada Persidangan Konfederasi Juruaudit Dalaman Asia 2025 (ACIIA) yang dirasmikan oleh di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. Foto Hari Anggara, 9 SEPTEMBER 2025.

 

KUALA LUMPUR – Keperluan audit dan audit dalaman adalah elemen penting dalam mana-mana sistem pentadbiran negara, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaannya perlu sekiranya kerajaan serius mahu menangani ketirisan, rasuah, isu tadbir urus dan tatakelola yang menjadi cabaran besar dalam sistem pentadbiran.

“Seperti mana Datuk Seri Suraya (Ketua Audit Negara) tahu, saya berikan ruang seluas mungkin supaya jentera kerajaan diawasi dan dipantau lebih dekat dan ini harus mendapat kerjasama sepenuhnya dengan Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Konfederasi Juruaudit Dalaman Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pagi ini.

Hadir sama adalah Ketua Audit Negara, Datuk Seri Suraya Wan Mohd Radzi.

Tambah Anwar, tanpa kawalan yang telus, kekuatan ekonomi tidak mampu menyelesaikan masalah besar negara.

“Kita bicara tentang perlunya kita pacu pertumbuhan tetapi dalam mana-mana negara dengan kekuatan ekonomi tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah sekiranya dibiarkan keterlanjuran dari segi ketirisan dan juga rasuah penyelewengan yang terus berlaku,” katanya.

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada pihak-pihak yang berani dan tegas membersihkan kerajaan serta syarikat daripada kebiasaan melanggar peraturan.

Jelasnya, sikap ini harus dijadikan teras dalam memastikan aktiviti ketirisan dan rasuah tidak terus berakar kepada masyarakat.

“Saya ucap terima kasih dan penghargaan kepada rakan-rakan kerana mereka tunjukkan sikap dan keberanian dan ketegasan membersihkan jentera sama ada kerajaan atau syarikat-syarikat kerajaan dan swasta daripada kebiasaan melanggar peraturan ini,” katanya.

Sebagai contoh, Anwar berkata, urus tadbir yang tidak telus akan membawa kesan hebat kepada negara sebagaimana yang berlaku dalam skandal seperti 1MDB.

“Seperti yang kita alami dalam banyak skandal kewangan sebelum ini termasuk skandal 1MDB,  ia tidak mungkin berlaku tanpa penglibatan juruaudit, juruaudit dalaman dan institusi kewangan antarabangsa.

“Kita mesti mengambilnya sebagai cabaran untuk menyelamatkan masyarakat serta negara daripada penyelewengan ini. Maka kita harus memahami maksud sebenar sistem semak dan imbang; keperluan untuk bertindak dengan penuh ketelusan, akauntabiliti dan amanah.

“Inilah asas yang membolehkan institusi bertahan, khususnya apabila diuji,” katanya lagi.

Mengulas usaha pembaharuan institusi, perdana menteri menegaskan, langkah mengukuhkan Jabatan Audit Negara adalah kritikal walaupun tidak popular.

Katanya, kerajaan telah memperkukuh mandat Jabatan Audit Negara melalui pindaan pertama Akta Audit dalam tempoh 33 tahun, bagi memastikan dana awam dilindungi serta pesalah dibawa ke muka pengadilan.

“Melalui pindaan pertama Akta Audit dalam tempoh 33 tahun, ia mungkin bukan reformasi yang glamor, tetapi ia adalah pembaharuan penting.

“Sejak 2024, audit susulan berjaya memulihkan serta melindungi dana berjumlah RM159 juta,” katanya.

Menurut Anwar, empat garis panduan audit baharu turut dilancarkan awal tahun ini, yang mewajibkan mana-mana entiti penerima dana awam mematuhi prinsip pengurusan wang rakyat.

“Syarikat berkaitan kerajaan, yayasan, apa sahaja sebaik menerima dana awam, mereka mesti mematuhi prinsip pengurusan wang rakyat. Langkah ini akan membantu membendung ketirisan dan rasuah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast