KUALA LUMPUR – Penguatkuasa Farmasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berjaya mematahkan cubaan membawa masuk ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai kira-kira RM17,100 melalui Hab Antarabangsa Pos Malaysia (PMIH), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
AKPS dalam kenyataan memaklumkan, ubat-ubatan itu ditemui dalam satu bungkusan hasil pemeriksaan yang dijalankan sekitar pukul 11 pagi.
Katanya, bungkusan mencurigakan dari Kemboja itu dialamatkan kepada seorang individu yang tinggal di Klang, Selangor.
“Pemeriksaan lanjut mendedahkan bungkusan tersebut menyembunyikan 3,420 biji ubat-ubatan tidak berdaftar yang dipercayai mengandungi bahan psikotropik tersenarai dalam Jadual Ketiga, Akta Racun 1952.
“Antara rampasan yang dilakukan termasuk tablet Alprazolam 0.5mg (jenama Xanax) 3,000 biji bernilai RM15,000 dan tablet Zolpidem 10mg (jenama Stilnox) sebanyak 420 biji, bernilai RM2,100,” katanya.
Menurut AKPS lagi, cubaan pengimportan itu merupakan satu kesalahan serius di bawah Peraturan 7(1) (a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, dibaca bersama Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Ia juga melanggar Peraturan 4 (1) Peraturan-Peraturan Racun (Bahan Psikotropik) 1989 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 30 (5) Akta Racun 1952.
Pasukan Penguatkuasa Farmasi AKPS menegaskan, sebarang ubat tidak berdaftar yang tidak melalui kawalan kualiti dan keselamatan Kementerian Kesihatan berpotensi mendatangkan kesan sampingan berbahaya serta mengancam nyawa pengguna.
Ujarnya, semua ubat-ubatan dirampas akan dilupuskan mengikut prosedur sedia ada.
“AKPS menegaskan komitmen untuk terus memperketat kawalan di pintu masuk negara dan memberi amaran keras bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana cubaan penyeludupan ubat-ubatan haram yang boleh menggugat keselamatan dan kesihatan awam,” katanya. – MalaysiaGazette
















