Ahmad Faizal Sulaiman

KUALA LUMPUR – Pengambilalihan FGV Holdings Bhd (FGV) oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) merupakan perkembangan positif yang dilihat mampu menarik semula sokongan warganya.

Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Ahmad Faizal Sulaiman berkata, ia akan dapat memperkukuhkan semula kedudukan ekonomi agensi ini.

“Ia dapat memastikan manfaatnya dirasai secara lebih menyeluruh oleh peneroka, generasi baharu dan komuniti FELDA keseluruhannya,” katanya menerusi kenyataan.

Baru-baru ini, Pengerusi Felda , Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, struktur agensi ini akan diseragamkan kembali bersama FGV supaya tidak ada pertindihan operasi pada masa akan datang.

Pengambilalihan saham FGV itu bukan sahaja membuka jalan ke arah pemerkasaan Kumpulan Felda yang lebih mampan dan berfokus malah selari dengan aspirasi menjayakan Pelan Strategik dan Hala Tuju Kumpulan FELDA 2025-2030.

Sementara itu, Ahmad Faizal juga menegaskan, pendirian MBFM membenci perbuatan buli yang dilihat kini semakin membimbangkan.

Sehubungan itu golongan belia Felda perlu dibimbing supaya dapat menjadi contoh yang baik sekaligus menyebarkan kesedaran tentang kesan negatif buli dalam masyarakat.

“Bimbingan adalah dengan pengisian positif, pembinaan sahsiah serta peluang pembangunan kepimpinan agar mereka dapat menjadi generasi berwibawa, berakhlak mulia dan mampu mengangkat martabat FELDA pada masa hadapan,” tambahnya.

Justeru, katanya, MBFM menganjurkan Kursus Kenegaraan Malaysia Komuniti Belia Felda baru-baru ini yang disertai oleh lebih 800 pelapis belia.

Katanya, penglibatan besar-besaran ini membuktikan generasi FELDA sedia memikul tanggungjawab sebagai pewaris kepimpinan komuniti dan negara.

“MBFM yakin siri kursus ini bukan sahaja memperkukuhkan nilai kenegaraan dan patriotisme malah membina jaringan kukuh pelapis kepimpinan belia Felda di seluruh negara yang berdaya saing dan berdisiplin tinggi,” katanya.

Menurutnya, kurusus siri keenam itu melibatkan Majlis Belia FELDA Wilayah Johor Bahru dan Wilayah Raja Alias telah berlangsung di Pusat Latihan Kenegaraan Maran, Pahang.– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast