Anggota bomba menjalankan kerja-kerja penyelamatan dengan mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta di Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh pada Rabu. Foto JBPM Perak

IPOH – Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas dan terbalik di Jalan Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pukul 8.06 pagi.

Menurutnya, sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat.

“Setibanya di lokasi didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Corolla telah terbabas dan terbalik serta terdapat seorang mangsa lelaki berusia 55 tahun tersepit di bahagian pemandu dan disahkan maut di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bagaimanapun, isteri mangsa yang berusia 48 tahun hanya mengalami kecederaan ringan,“ katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ketua operasi melaksanakan penilaian operasi seterusnya mengaplikasikan Konsep SAVER (Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap) dan mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan hydraulik bagi mengeluarkan mangsa.

“Mangsa yang maut diserahkan pada pihak polis manakala mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.53 pagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast